BERNAMA
LANGKAWI: "Kolonel Mat" yang disebut Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai orang yang ingin menjatuhkan kerajaan pimpinannya di Kelantan hanya wujud di minda pemimpin pembangkang itu, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Sehubungan dengan itu beliau meminta Menteri Besar Kelantan itu supaya tidak melibatkan anggota tentera atau Kementerian Pertahanan di dalam permainan politiknya itu.
"Kolonel Mat itu hanya wujud di dalam mindanya (Nik Abdul Aziz) sendiri. Mengikut pengetahuan saya, Kolonel Mat itu sudah pun meninggal dunia," katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas merasmikan Persidangan Ketua-Ketua Tentera Udara sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA '09) yang bermula esok hingga 5 Disember.
Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata, tindakan Menteri Besar Kelantan membuat dakwaan sedemikian turut menunjukkan bahawa beliau takut kepada "bayang-bayangnya" sendiri.
Yang turut hadir pada majlis perasmian itu adalah Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Azizan Ariffin dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia Jen Datuk Seri Rodzali Daud.
No comments:
Post a Comment