Wednesday, November 4, 2009

Pasir Mas pusat jualan rokok haram

UTUSAN ONLINE


KOTA BHARU - Kajian oleh sebuah syarikat penyelidikan bebas, Tylor Nelson Soffres mendapati sebanyak 39.7 peratus rokok yang ada dalam pasaran di negeri ini adalah rokok seludup.

Pada masa yang sama, jajahan Pasir Mas yang bersempadan dengan negara jiran merupakan antara kawasan paling banyak berlaku kegiatan jual beli rokok secara haram.

Ketua Eksekutif Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (GPTM), Shaik Abbas Ibrahim berkata, laporan itu dikeluarkan oleh sebuah syarikat antarabangsa yang melakukan kajian di negeri ini dan ia agak mengejutkan.

"Rokok-rokok ini diseludup menggunakan jalan laut dan sungai untuk membolosi sempadan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah kepada 120 peruncit di daerah itu sempena Program Kempen Membasmi Jualan Produk Tembakau Tidak Sah 2009 di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) di sini hari ini.

Jelasnya, kajian oleh beberapa pihak juga mendapati hanya 6.7 juta tan metrik daun tembakau kering dijual di negara ini berbanding 13.3 juta tan metrik pada tahun 2004.

Bagi mengatasi masalah itu katanya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dengan kerjasama GPTM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah mengadakan dialog bersama peruncit daerah ini untuk memberi penerangan kepada mereka.

"Kekurangan kesedaran di kalangan peniaga turut menjadi faktor jumlah jualan rokok seludup yang agak tinggi di daerah ini.

"Oleh itu kita telah memulakan langkah 'turun padang' seperti ini untuk bertemu dengan peruncit kerana hanya mereka yang mampu memastikan gejala itu dapat dihentikan," tambahnya.

No comments: