Wednesday, November 4, 2009

Ketua Pemuda berang dituduh dalang

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong berang terhadap dakwaan beliau menjadi dalang di sebalik agenda menyingkirkan Presiden, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Dr Wee menyifatkan dakwaan sedemikian sebagai cerita dongeng, tohmahan tidak berasas dan taktik kotor untuk mengucar-kacirkan parti.

“Takkanlah dalam percaturan politik di Malaysia, pemimpin tidak ada pemikiran tersendiri dan ini (dakwaan) adalah satu komen tidak adil bagi saya dan memang tidak bertanggungjawab. Ini menunjukkan mereka (pihak menyebarkannya) ada muslihat untuk memudarkan keyakinan kita.

“Mereka hendak membuat tohmahan dan taktiknya ialah mengucar-kacirkan keadaan menjadi kelam-kabut,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam.

Wee berkata, beliau berpegang kepada prinsip ‘mengatakan yang benar itu benar’ dan berpendirian bahawa setiap pemimpin MCA bertanggungjawab untuk memulihkan integriti parti.

“Saya tidak mensasarkan sesiapa dan tidak boleh menjadi superman yang boleh buat semua. Saya tidak tahu mengapa selepas lantang mempertahankan diri, saya pula menjadi mangsa dan dituduh kononnya perancang utama (agenda menyingkirkan Ong).

“Ini semua taktik kotor dan saya menasihatkan individu yang melakukannya supaya berhenti... kita perlu mencari satu penyelesaian terbaik untuk parti,” katanya.

Ketika diminta mengulas kenyataan ‘panas’ Tan Sri Robert Phang terhadapnya, Wee berkata, beliau tidak gila sehingga boleh mengeluarkan kenyataan hendak mengambil alih jawatan Menteri Pengangkutan yang disandang Ong.

Wee juga mendedahkan ada muslihat dari luar untuk berterusan mengkritiknya dan Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun.

“Saya tidak mahu urusan parti menjadi topik perbincangan orang luar yang tiada kena-mengena dan jika hendak menjadi perwakilan, masuk bertanding.

“Bagi saya, sokongan kepada sesiapa adalah hak masing-masing, tetapi jangan buat tohmahan. Semua ini di luar jangkaan dan saya berasa amat sedih dengan apa yang berlaku,” katanya.

Ketika ditanya khabar angin bahawa beliau dan Chew akan dipecat daripada parti, Wee hanya berkata: “Tunggu dan lihat”.

Sementara itu, Chew ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen pula berkata, Phang tidak sepatutnya memberi pandangan tanpa mengetahui perkara sebenar dalam MCA.

“Ini isu MCA, tiada kaitan dengan beliau. Jika mahu beri komen, biarlah adil,” katanya.

No comments: