Tuesday, September 1, 2009

Tuduhan sembunyi fakta: Guan Eng cabar Tsu Koon debat

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencabar Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berdebat dengannya berikutan tuduhan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bahawa beliau menyembunyikan maklumat mengenai isu Kampung Buah Pala.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu menuduh Lim menyembunyikan sebahagian dari minit mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengenai perkara itu.

Beliau juga menuduh Lim pandai memutarbelitkan fakta.

"Kalau dia kata kami tidak mendedahkan minit mesyuarat - minit mesyuarat tidak berbohong - biar dia nyatakan apa yang patut kami dedahkan," katanya.

Lim menetapkan syarat supaya Koh sendiri yang tampil untuk berdebat dengannya.

"Kalau dia (Koh) berani berdepanlah dengan saya, jangan hanya menghantar proksi untuk berdebat.

"Saya mengalu-alukan sekiranya beliau mahu berdebat dan memberi jawapan ke atas segala persoalan yang dibangkitkan sejak pakatan pembangkang mengambil alih Pulau Pinang Mac tahun lepas," katanya kepada pemberita semalam.

Koh sebelum ini berkata, pihaknya akan menghantar pemimpin dan anggota parti terutama di peringkat Pemuda Gerakan yang sentiasa bersedia untuk berdebat dengan kerajaan Pulau Pinang berhubung pelbagai isu berikutan tindakan kepimpinan negeri itu yang sering menyalahkan kerajaan terdahulu apabila timbul sesuatu masalah.

Lim juga mahu perdebatan mestilah disiarkan secara langsung di televisyen bagi mengelak ia diputar belit media.

"Saya bersedia hadir sekiranya debat berkenaan disiarkan secara langsung. Kalau tiada, tidak guna kerana akan ada media memutar belit kenyataan serta fakta diberi," katanya.

Mengenai penangkapan tiga penduduk Kampung Buah Pala, Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata beliau tidak ada kena mengena dengan penangkapan itu.

Beliau berkata, beliau tidak ada kuasa ke atas pasukan polis dan oleh itu beliau tidak tahu mengapa polis bertindak demikian.

"Oleh kerana penduduk telah meminta pertolongan Umno, mereka sepatutnya meminta penjelasan dari Umno

"Kerajaan negeri tidak tahu menahu tentang sebarang tindakan yang diambil oleh polis (ke atas penduduk kampung itu)," katanya.

20 Ogos tahun lalu, Lim dan Koh berdebat tentang "cerita sebenar mengenai kontroversi tanah di Pulau Pinang".

Perdebatan itu disiarkan secara langsung.

Di hujung perdebatan itu, Lim menyatakan kekecewaannya kerana tidak ada respon dari Koh mengenai masalah yang berlaku.

Lim juga dianggap memberikan pukulan KO kepada Koh dalam perdebatan itu apabila berkata: "Jika tidak ada rasuah dalam kerajaan barisan nasional sebelum ini, mereka tidak akan tumbang dalam tsunami pilihan raya Mac lalu". - mks. _

No comments: