PAHANG DAILY
Isu Selcat nampaknya semakin dihangatkan lagi apabila terdapat desas desus mengatakan bahawa Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr.Hassan Ali bakal dikenakan tindakan displin oleh parti itu.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa orang pemimpin kanan PAS, jelas menyebut dan mengatakan tindakan Hassan Ali itu "salah" dan tidak wajar dibuat atas nama menjaga keharmonian Pakatan Rakyat di negeri Selangor.
Difahamkan Jawatankuasa Kerja pusat PAS telah memberi "amaran" secara lisan kepada Hasan, yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor, dua kali sebelum ini termasuk berhubung soal pengharaman jualan arak di Shah Alam baru-baru ini.
Salah satu isu dipercayai berkaitan dengan kenyataannya "mempertikaikan" isu sedekah korban lembu oleh Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim akhir tahun lalu.
Biarpun ramai pemimpin Pakatan Rakyat terutamanya dari PAS yang kecewa dengan tindakan Hassan Ali itu, namun beliau terus menerima sokongan padu Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Nasharudin Mat Isa serta Ketua Pemuda PAS pusat, Nasrudin Hassan Tantawi. Nampaknya tindakan beliau itu, tidaklah terlalu bercanggah dengan pandangan lain-lain pemimpin tertinggi PAS itu sendiri.
Soalnya, wajarkan Dato' Dr.Hassan Ali diambil tindakan oleh PAS dalam hal ini. Kesalahan beliau ialah mengeluarkan pendapat selepas ditanya oleh wartawan ketika Majlis Rumah Terbuka MB Selangor.
Jika beliau tidak menjawab soalan itu, sudah pasti isu ini tidak panas seperti sekarang ini. Makanya, sebelum mengambil apa-apa tindakan terhadap beliau kita juga harus melihat dan mengkaji kesan-kesan dan impaknya terhadap Pakatan Rakyat itu sendiri.
Hassan Ali adalah satu nama yang cukup dihormati oleh segenap lapisan rakyat sebenarnya. Oleh itu, jika beliau dikenakan tindakan maka ia akan lebih membuka ruang yang luas kepada perpecahan sebenarnya. Maka, eloklah kes ini ditangani secara berhemah seperti krisis yang berlaku antara Presiden PAS, Hj.Hadi Awang dengan Timbalannya Nasharuddin Mat Isa satu ketika dulu. Buang yang keruh dan ambil yang jernih. Nescaya semuanya dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.
Pandangan dan pendapat memang ada kalanya akan menyinggung perasaan orang lain. Namun, tidak wajar pimpinan PAS sendiri menuduh Hassan cuba bermain tarik tali dan bersekongkol untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat di Selangor.
Tuduhan tidak berasas dengan mengatakan beliau kononnya akan bergabung dengan UMNO dan Barisan Nasional untuk mengambilalih tampuk kepimpinan kerajaan negeri adalah satu provokasi jahat yang bakal mengeruhkan lagi keadaan sebenarnya.
[Mentaliti pemimpin Pakatan Rakyat perlu diubah, tidak semestinya mempertikaikan sesuatu keputusan itu bermakna ingin menyertai UMNO. Bukan semua tindakan yang dilakukan itu dapat diterima oleh sekalian rakyat. Tambahan pula Selcat diadakan secara terbuka dan disiarkan secara langsung menerusi saluran media alternatif.
Langkah terbaik ialah meneruskan kaedah siasatan seperti biasa secara terbuka, tetapi Selcat tidak membenarkan mana-mana pihak menyiarkan siaran langsung prose siasatan menerusi media online di internet.
Inilah puncanya yang menyebabkan ia memalukan pegawai yang berkenaan. Maka adalah wajar, siasatan terbuka yang dijalankan tidak disiarkan secara langsung selepas ini. Nescaya kes ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin].
No comments:
Post a Comment