Lim Hong Siang
Slogan "Makkal Sakhti" telah menjurus kepada tsunami politik yang mengkaramkan BN-MIC pada 8 Mac 2008. Hindraf membeliakkan mata orang ramai dengan demonstrasi pada 25 November 2007, cuba dipadamkan kerajaan BN kemudiannya dengan penahanan lima orang pemimpin utama di bawah ISA.
Laungan "Makkal Sakhti" membanjiri hampir semua ceramah politik PKR-PAS-DAP semasa kempen PRU ke-12. Penahanan pemimpin Hindraf terbukti silap dan gagal, apabila luahan komuniti India meledak dalam peti undi, membuka lembaran baru sejarah politik tanahair dengan 2/3 majoriti BN dinafikan, dan lima kerajaan negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (gabungan parti politik kemudiannya).
Bahang dalam masyarakat India terus membara, sehingga kerajaan Najib terpaksa membebaskan lima orang tahanan Hindraf, yang sebelum ini dituduh (tanpa bukti) sebagai "pengganas". Pembebasan ini dibaca sebagai langkah Najib untuk mengembalikan sokongan masyarakat India.
Seandainya hasil soal selidik Merdeka Centre yang diumumkan pada Julai yang lalu diambil kira, Najib kelihatan semakin mendekati matlamatnya. 74% responden berkaum India berpuas hati dengan Najib, malah replika Najib tersergam megah di Batu Caves pada tahun ini, menggantikan replika Anwar Ibrahim pada tahun 2008.
Hindraf masuk gelanggang politik
Tsunami politik 8 Mac 2008 bukan sahaja merombak senario politik Malaysia, tetapi juga mengubah wajah Hindraf. Pemimpin Hindraf seperti Manoharan s/o Malayalam disarungkan jersi DAP dalam PRU ke-12, sementara pemimpin seperti S.Manickavasagam yang menghulurkan tangan semasa pemimpin Hindraf ditahan, kekal berada di PKR.
Perkembangan terbaru menyaksikan bekas penyelaras kebangsaan Hindraf, R S Thanenthiran menubuhkan parti baru, menggunakan "Makkal Sakhti" sebagai nama parti. Parti yang diluluskan pendaftarannya dalam masa yang singkat ini bakal dilancarkan Presiden BN, Najib Abdul Razak pada 10 Oktober ini.
Sementara itu, ikon Hindraf, P.Uthayakumar melanjutkan perjuangan melalui wadah baru, Parti Hak Asasi Manusia (Human Rights Party, PAHAM). Ringkasnya, pemimpin Hindraf kini terbahagi kepada sekurang-kurangnya empat kumpulan, mengikut wadah parti.
Plan menumpukan undi India
Apabila memasuki gelanggang parti politik, maka "kerusi" akan menjadi rebutan, pada masa yang sama juga sebagai salah satu kayu ukur untuk menilai sejauh manakah parti ini berpengaruh. Namun, melihat kepada realiti dari populasi dan struktur kawasan pengundi, agak sukar untuk kaum minoriti ini memberi impak terhadap senario politik tempatan secara bersendirian.
P.Uthayakumar sememangnya telah menyedari realiti tersebut. Beliau pernah mengetengahkan satu plan untuk menyatukan kekuatan komuniti tersebut. Berdasarkan plan ini, beberapa kawasan pengundi yang terdiri daripada 20% hingga 30% kaum India dikenalpasti, kemudian pengundi India digesa untuk mendaftarkan diri semula sebagai pengundi di kawasan tersebut.【Baca Malaysia Insider: Uthayakumar sets out to create Indian clout with new party】
Dalam perhitungan P.Uthayakumar, jikalau pengundi India ditumpukan, maka nisbah komposisi pengundi India akan bertambah di kawasan tertentu. Seandainya undi India tidak berpecah, maka calonnya akan memenangi kerusi tersebut. Malah, beliau meramalkan PAHAM akan memenangi 15 kerusi parlimen dan 38 kerusi DUN sekiranya plan ini berjalan lancar.
Ke mana PAHAM?
Persoalannya, biarpun plan ini berjaya dalam PRU ke-13, tetapi ke mana perginya PAHAM selepas itu? Barisan Nasional, ataupun Pakatan Rakyat? Atau kekal bersendirian?
Apa yang berlaku sebelum pembebasan lima orang pemimpin Hindraf di bawah ISA adalah, sokongan komuniti India dicurahkan kepada bukan-BN, maka PR dimanfaatkan sepenuhnya. Namun, selepas pembebasan tersebut, ditambah pula rekod pentadbiran PR di empat negeri, Hindraf mengambil pendirian untuk duduk di atas pagar.
P.Uthayakumar jelas tidak berpuas hati dengan cara kerajaan PR Pulau Pinang mengendalikan isu Kampung Buah Pala, malah juga mempertikaikan keikhlasan kerajaan PR Selangor untuk mempertahankan kuil Hindu di Shah Alam. PR dianggap gagal menyelesaikan masalah komuniti India walaupun telah memerintah di empat negeri.
Segala-gala ini menjurus kepada seruan PAHAM agar pengundi India di Bagan Pinang tidak turun mengundi di Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan yang bakal berlangsung pada 3 hingga 11 Okotober. Pendirian ini berbeza dengan pendirian Hindraf semasa PRK Bukit Selambau pada April yang lalu, apabila Hindraf menyeru untuk mengundi calon PKR pada saat-saat terakhir.
Strategi P.Uthayakumar cukup jelas, seandainya matlamat 15 kerusi parlimen dan 38 kerusi DUN itu tercapai, maka beliau mempunyai "bargain power" yang lebih, apabila kedua-dua BN dan PR memerlukannya untuk menubuhkan kerajaan. PAHAM boleh memilih di antara BN dengan PR, bergantung kepada manakah yang menawarkan "pakej" yang lebih menarik.
"Pakej" yang dimaksudkan boleh dalam bentuk "dasar" yang lebih membela nasib komuniti India, mahupun jawatan dan pangkat untuk "wakil India" dalam kerajaan. PR telah berdepan dengan tuntutan sedemikian selepas PRU ke-12.
Persoalannya...
Perkiraan ini mungkin tepat sekiranya diasingkan dari konteks masyarakat Malaysia. Namun, pada realitinya, PAHAM perlu berdepan dengan pelbagai masalah yang kompleks.
Pertama, apakah PR sanggup memberi laluan kepada PAHAM untuk bertanding di semua kawasan yang dituntutnya? Kedua, apakah undi masyarakat India akan disatukan? Ketiga, biarpun disatukan, apakah kesemua undi ini akan memihak PAHAM? Keempat, apakah nisbah tersebut cukup untuk memenangkan calon PAHAM? Kelima, apakah PAHAM akan diterima masyarakat kaum lain?
Dan yang paling mustahak, apakah PAHAM menyumbang ke arah politik berbilang kaum, atau mengulangi model politik perkauman yang diamalkan selama ini? Apakah PAHAM akan kekal relevan, apabila rakyat Malaysia semakin berkecenderung untuk memilih parti yang berbilang kaum?
Masa tidak menunggu PAHAM. PAHAM perlu mengatur langkah dirinya secepat mungkin.
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu. Artikel ini disusun daripada beberapa tulisan MerdekaReview edisi bahasa Cina sebelum ini.
No comments:
Post a Comment