Oleh Nurhayati Abllah
IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh, semalam menolak permohonan injuksi bekas Speaker Perak, V Sivakumar bagi menghalang Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim daripada mengganggu Pakatan Rakyat mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Pesuruhjaya Kehakiman, Tarmizi Abdul Rahman membuat keputusan itu di kamarnya selepas pertemuan kira-kira dua jam antara pihak plaintif dan defendan.
Sivakumar (plaintif) berpakaian sut lengkap tiba di mahkamah pada jam 2.30 petang bersama peguamnya, Chan Kok Keong dan Mohd Asri Othman, sementara Abdul Rahman hanya mewakilkan Penasihat Undang-Undang Perak, Datuk Ahmad Kamal Shahid bagi menjalani prosiding itu.
Sivakumar sebelum ini memfailkan saman pada 26 Ogos lalu, terhadap Abdul Rahman kerana menyalahgunakan kuasa dan menghalang beliau serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) memasuki Dewan Negeri, pada 3 Mac lalu.
Dalam writ saman itu, plaintif turut menuntut perintah injuksi bagi menghalang Abdul Rahman (defendan), ejen atau pekerja defendan daripada menafikan hak plaintif untuk memasuki dan menggunakan Dewan Negeri serta menjalankan tugas sebagai Yang Dipertua DUN yang sah.
Plaintif juga mengemukakan tuntutan ganti rugi teruk (aggravated), ganti rugi contoh (exemplary damages) yang didakwa dialaminya ketika cuba menghadiri dan memasuki Dewan Negeri pada 3 Mac lalu, selain kos atau bayaran lain dianggap sebagai adil dan saksama oleh mahkamah.
Sivakumar ketika ditemui di pekarangan mahkamah berkata, beliau tetap dengan keputusan mengadakan sidang DUN hari ini, seperti yang dirancang sebelumnya.
"Saya tetap akan meneruskan persidangan itu. Notis bersidang sudah dikeluarkan. Walaupun permohonan injuksi berkenaan gagal, itu bukan alasan kepada saya dan Adun (Pakatan Rakyat) lain tidak menjalankan tugas.
"Jika ada pihak yang cuba menghalang, ia adalah perbuatan yang salah," katanya yang enggan memberi penjelasan lanjut.
Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan beberapa perbincangan dan agenda baru jika persidangan itu berjaya dijalankan.
No comments:
Post a Comment