BERITA HARIAN ONLINE
KUALA TERENGGANU: Meskipun sudah banyak berita dipaparkan media mengenai mangsa mercun terutama pada musim perayaan, ia sedikit pun tidak memberi kesan dan keinsafan apabila kes terbaru, seorang lagi kanak-kanak menjadi mangsa mercun kedua di negeri ini.
Mangsa, murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Sungai Tong, Safiq Amirul Musa, 9, dari Sungai Tong, Setiu cedera tiga jari kanan dan tapak tangan akibat terkena mercun bola yang tiba-tiba meletup sebelum sempat dia membaling ke tanah, petang kelmarin.
Menceritakan kejadian itu, ibu mangsa, Ku Hasnah Tuan Mahmud, 40, berkata dia sedang memasak juadah untuk untuk berbuka puasa di dapur sebelum tiba-tiba didatangi anaknya yang menangis sambil menunjukkan luka di tiga jari yang terkena mercun, kira-kira jam 6.30 petang.
“Saya terus membawa Safiq ke Pusat Kesihatan Langkap, tetapi dinasihatkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk mendapatkan rawatan lanjut, kira-kira jam 9 malam.
“Mercun itu diberikan rakannya dan dia teringin cuba membakarnya, tetapi meletup lebih awal.
“Apapun, saya bersyukur kerana kecederaan dialaminya tidak serius dan dijangka dibenarkan pulang ke rumah dalam masa beberapa hari lagi,” katanya sambil menambah anaknya terpengaruh dengan rakan yang mengajak bermain mercun.
Pengarah HSNZ, Dr Mohd Jusoh ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mangsa masih diberi rawatan di wad 5CD dan dijangka dibenarkan keluar beberapa hari lagi berikutan hanya mengalami cedera ringan.
Pada hari pertama Ramadan, Muhammad Nur Sufyan, 6, dari Kampung Chabang Tiga di sini kehilangan tiga jari tangan kiri akibat terkena mercun.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, orang ramai yang mengetahui mengenai kegiatan penjualan mercun secara haram di sekitar bandar raya ini diminta menghubungi polis di talian 09-6246222 untuk diambil tindakan.
No comments:
Post a Comment