Wednesday, June 3, 2009

'Usah pertikai status UiTM'

Oleh Rafidah Mat Ruzki


SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, mengingatkan semua pihak tidak mempertikaikan status dan kedudukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai antara pembentuk utama keseimbangan sosial di kalangan masyarakat negara ini.

Baginda bertitah, jumlah graduan yang ramai dilahirkan UiTM menunjukkan keupayaannya ke arah itu seterusnya membolehkan negara stabil dan makmur dalam pelbagai aspek.

"Beta doakan UiTM dan graduannya akan terus menjadi tonggak pembangunan bangsa serta menjadi benteng yang kukuh mempertahankan agama dan kedaulatan negara," titah baginda pada pembukaan Istiadat Konvokesyen UiTM ke-70 di Dewan Sri Budiman di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Naib Canselor UiTM, Datuk Seri Profesor Dr Ibrahim Abu Shah.

Seramai 13,881 graduan menerima diploma, diploma lepasan ijazah, ijazah sarjana muda dan sarjana serta ijazah doktor falsafah pada istiadat kali ini.

Pada sesi pertama semalam, baginda berkenan menyampaikan ijazah kepada 10 graduan yang menerima ijazah doktor falsafah dan 409 penerima ijazah sarjana.

Baginda menasihatkan warga UiTM supaya terus berusaha memartabatkan universiti itu ke tahap tertinggi dalam apa jua bentuk penilaian, sama ada pada peringkat tempatan atau antarabangsa, selaras slogan UiTM tahun ini 'Pencapaian Bersama Pengiktirafan Dunia.'

Titah baginda, semua kakitangan perlu memberi komitmen mutlak untuk bersama Naib Canselor UiTM memacu universiti itu menjadi lebih gah dan dihormati, bukan saja dari segi saiz, malah sumbangannya terhadap penerokaan ilmu.

Pada masa sama, baginda menasihatkan graduan supaya sedar bahawa kejayaan mereka bukan hanya kejayaan individu, tetapi kejayaan bersama keluarga, universiti dan negara.

"Graduan jangansama sekali lupa untuk mengisi kejayaan ini dengan memenuhi harapan mereka yang banyak menyokong dan berkorban untuk kejayaan mereka.

"Beta bersyukur, kerana ketika dunia menghadapi krisis kegawatan ekonomidan merebaknya virus Influenza A (H1N1), kita di Malaysia masih mampu menjaga kestabilan dan keamanannya.

"Bagaimanapun, beta ingin nasihatkan agar kita jangan lalai dan berpuas hati dengan apa yang ada. Kita hendaklah sentiasa mencari jalan memajukan tamadun dan pemikiran bangsa kita," titah baginda.

Berikutan itu, baginda mengingatkan rakyat tanpa mengira usia merebut peluang menuntut ilmu kerana ia tiada batasan, tambahan negara mempunyai banyak institusi pengajian tinggi berkualiti.

Pada istiadat sama, Tuanku Mizan turut berkenan menerima watikah pemasyhuran baginda sebagai Penaung Diraja Institut Pemasaran Berkanun Malaysia daripada Ketua Eksekutif Chartered Institute of Marketing, United Kingdom, Rod Wilkes.

Pemasyhuran baginda menjadikan institut berkenaan satu-satunya badan profesional bidang pemasaran di luar United Kingdom yang mempunyai Penaung Diraja.

No comments: