Sunday, June 28, 2009

Vaksin selesema H1NI tidak diperolehi lagi, kata saintis

BERNAMA


MELBOURNE: Vaksin bagi selesema babi atau Influenza A(H1N1) mungkin tidak diperolehi sehingga pertengahan tahun depan, menurut para saintis.

Para saintis dari Kumpulan CSL berkata makmal Melbourne telah menghasilkan sampel vaksin yang berkesan terhadap selesema H1N1 tetapi percubaan ke atas manusia diperlukan bagi menentukan dos yang betul.

Akhbar SunHerald dipetik sebagai berkata kerajaan telah mengenepikan pengeluaran awal vaksin bagi kumpulan yang mudah terdedah seperti orang tua atau mereka yang menghidap penyakit yang kronik.

Dr Rachel David dari CSL berkata keputusan daripada percubaan membabitkan 240 orang dewasa yang sihat dari Australia Selatan akan menentukan bila 10 juta dos yang ditempah Canberra akan diedarkan.

Beliau berkata tempoh paling awal vaksin itu siap digunakan adalah pada pertengahan hingga penghujung Ogos tetapi jika virus itu terus menghasilkan simptom yang sederhana, kerajaan mungkin melewatkan pengedarannya sehingga tahun depan.

Dr David berkata Pentadbiran Barangan Terapeutik, kerajaan dan pakar kesihatan awam, bukan CSL, akan mengawal apabila vaksin itu diperolehi.

Kesemua lima orang yang meninggal dunia akibat wabak itu di Australia, dua di Australia Barat dan tiga di Victoria, sebelum ini telahpun mengalami gangguan kesihatan.

Prof Raina MacIntyre, seorang pakar penyakit berjangkit di Universiti New South Wales berkata lebih banyak kematian akibat wabak selesema H1N1 dijangka berlaku kerana orang ramai tidak dapat membina kekebalan kepada penyakit itu.

Katanya kejadian selesema H1N1 pada 1970an telah membawa kepada penghasilan vaksin yang membawa kesan sampingan neurologikal yang serius.

No comments: