Oleh SYED RIDZUWAN SYED ISMAIL
KANGAR - Anak bongsu daripada tujuh beradik ini bersungguh-sungguh untuk mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kerana teruja dengan pengalaman kakaknya yang pernah menjalani program serupa sebelum ini.
Meskipun mengalami asma dan kurang aktif, namun hajatnya itu tertunai dan terpilih untuk mengikuti program berkenaan di Guar Chenderai, Padang Besar di sini, kira-kira dua minggu lalu.
Namun malangnya, Abdul Malik Ishak, 18, yang berasal dari Kampung Relong, Sik, Kedah, ditemui mati di biliknya oleh rakannya kira-kira pukul 5.45 pagi.
Menurut Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supritendan Che Man Md. Deros, kematian pelatih itu disedari oleh rakannya ketika mahu mengejutkan pemuda berkenaan untuk solat Subuh.
Katanya, rakannya itu kemudian memaklumkan kepada pihak pengurusan PLKN dan seterusnya polis.
"Mayat Abdul Malik dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat. Keputusan menunjukkan tiada kecederaan atau unsur jenayah.
"Pakar forensik Hospital Tuanku Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, juga turut menjalankan siasatan," katanya ketika ditemui di bilik mayat HTF di sini hari ini.
Turut hadir di HTF ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad, mantan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Leftenan Kol. Aminuddin Abdul Rahim dan Komander PLKN Guar Chenderai, Mejar Muhammad Amnizam Abdullah.
Che Man berkata, polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian mengejut.
"Dalam tempoh dua minggu lalu, difahamkan PLKN belum menjalankan aktiviti sebenar kerana sibuk menjalankan kerja-kerja pentadbiran. Ini bermakna mangsa belum terlibat dalam sebarang aktiviti lasak.
"Ekoran itu saya menasihatkan agar tiada sebarang spekulasi berhubung kematian pelatih PLKN ini kerana ia bukan berpunca daripada unsur jenayah," jelasnya.
Sementara itu, bapa mangsa, Ishak Sudin, 59, berkata, anak bongsu daripada tujuh adik beradik itu beria-ia untuk mengikuti latihan PLKN apabila menerima surat tawaran beberapa minggu lalu.
"Dia begitu bersungguh-sungguh untuk pergi kerana sebelum ini kakaknya yang pernah mengikutinya menceritakan mengenai keadaan dan suasana dalam program itu.
"Saya tidak berapa menggalakkan anak saya (Abdul Malik) kerana dia bukan seorang yang aktif dan tidak berapa sihat kerana menghidap penyakit asma," jelasnya.
Tambahnya, dia reda dengan kematian anaknya dan menyifatkan kejadian itu sebagai takdir Ilahi.
No comments:
Post a Comment