Ali Bukhari Amir
BERIKUTAN insiden pembunuhan kejam melibatkan 11 orang Islam ketika menunaikan solat Isyak di Masjid Al-Furqan, Kg Air Tempayan, Narathiwat 9 Jun lalu, kita wajarlah menyusun beberapa pelan tindakan berasaskan kebijaksanaan dan keberanian.
Setidak-tidaknya, ada tiga gerakan yang perlu terlibat iaitu gerakan ilmiah melibatkan ahli akademik, intelektual dan pensyarah, gerakan ketenteraan yang melibatkan Ahmad Zahid Hamidi dan rundingan politik melibatkan Menteri Luar Malaysia.
Percubaan awal untuk membincangkan isu ini di Parlimen menemui jalan buntu apabila Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin, di bawah Peraturan Mesyuarat 18(2) sudah pun menolak usul ini untuk dibincangkan segera.
Ahli Parlimen PAS Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria meminta Malaysia mengambil inisiatif memanggil sidang khas Asean dengan segera bagi membincangkan pergolakan itu. Tambah Nasir, 'Malaysia perlu mendesak OIC agar mengiktirafnya sebagai orang tengah bagi membantu menyelesaikan masalah selatan Thailand.
Tetapi, jika tidak salah ingatan saya, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sudah meminta Malaysia menjadi wakilnya untuk menangani kemelut di Selatan Thai sebelum ini.
Malangnya, tatkala menjawab tuntutan OIC ini, Rais Yatim berkata, bahawa kemelut itu melibatkan masalah hal-ehwal dalaman negara-negara Asean dan negara tidak boleh ikut mencampuri urusan dalaman Thai.
Akhirnya, titik penamatnya berlaku di situ. Mungkin Rais boleh dihubungi semula untuk mengesahkan hal berkenaan.
Libatkan juga Britain
Selain ketenteraan negara, pergerakan intelektual dan rundingan kuasa politik, pihak yang perlu kita libatkan ialah kerajaan Britain sendiri.
Perjanjian Inggeris - Siam 1909 (Perjanjian Bangkok 1909, Perjanjian Anglo Siam 1909) di Istana Raja Thailand, bersama Gabenor Negeri-Negeri Selat Sir John Anderson adalah antara titik tolak yang menyaksikan pemecahan kerajaan Melayu Patani.
Isi perjanjian pada tahun 1909 itu melibatkan perkara-perkara berikut. Antaranya:
1. Kerajaan Melayu Pattani meliputi wilayah Yala dan Narathiwat di Thailand disahkan sebagai jajahan Thailand. Padahal kerajaan Melayu Patani tidak diajak berunding dalam perjanjian itu.
2. Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu yang sebelum ini dijajah Thailand diserahkan kepada Britain.
3. Negeri Kedah dan Perlis menerima seorang penasihat British pada tahun 1909.
4. Kelantan menerima penasihat British pada tahun 1910.
5. Terengganu menerima penasihat British pada tahun 1919.
Mungkin inilah asal-usul penjajahan Thai terhadap Melayu di utara Semenanjung dengan rasminya melalui pengiktirafan British; sebuah empayar terbesar pada saat itu.
Uusan mengkaji segala bentuk rundingan dan perjanjian yang terkait dengan penjajahan Yala, Narathiwat ini, maka ia terpundak di atas bidang tanggungjawab intelektual.
Tentera Malaysia perlu ambil peranan bersama
Desas-desus andaian yang kerap merebak dalam kalangan Melayu Islam di selatan Thai adalah, kebanyakan serangan itu berlaku dengan sebab tentera Thai sendiri yang terpecah dua; Utara dan Selatan.
Tapi, sejauhmanakah Ahmad Zahid Hamidi bersetuju untuk mewujudkan rondaan tentera di wilayah berkenaan masih diragui. Sebelum dilantik sebagai Menteri Pertahanan, Zahid pernah mencadangkan Pakatan Ketenteraan Negara Islam.
Tetapi selepas dilantik, Zahid berdiam diri. Tidak mustahil, Zahid Hamidi akan berbelah-bahagi dan takut-takut mengguna ketenteraan guna mengawal pergolakan di selatan Thai. Rakyat Malaysia yang prihatin perlu melobi agar hal ini tetap didebatkan.
Bantah nama Thai, ganti dengan Siam
Menelaah sejarah tentunya melibatkan fikiran yang mengundang keletihan. Di sana, telahpun ada usaha pengkarya filem yang mengeluarkan Queen of Langkasuka (Thai), Hikayat Merong Mahawangsa (Malaysia, bakal terbit) untuk menggeledah kisah-kisah purba.
Mungkin dengan jalan ini, setidak-tidaknya, perca-perca gambaran sejarah dapat dimuat dalam gambaran rakyat. Tapi, perkembangan mutakhir ini di Thailand agak menarik. Dan ia dimulai dengan gerakan intelektual, bukan melalui kuasa politik dan ketenteraan.
Misalnya, baru-baru ini, ahli sejarah terkemuka, Charnvit Kasetsiri membuat bantahan ke atas Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva dan beberapa jawatankuasa politik untuk menukar nama negara itu daripada Thailand kepada nama asalnya; Siam.
Siam adalah negara asal di mana ia memiliki benderanya sendiri, berwarna merah dengan gambar seekor gajah putih menghiasi bendera tersebut.
Mantan rektor Thammasat University itu berkata piagam perlu diubah dari 'Perlembagaan Negeri Thailand' kepada 'Perlembagaan Negeri bagi Siam' atau 'Perlembagaan Siam". Ini perlu bagi tujuan menggalakkan 'perpaduan ', 'keharmonian' dan 'perdamaian'.
Akademikus itu berkata, bahawa usaha menamakan semula Thai itu adalah langkah awal untuk merawat kemelut politik dan masyarakat di negara itu yang terdiri daripada 60 juta rakyat termasuk lebih daripada 50 kumpulan etnik.
Menurut ahli sejarah itu, Thai sebagai sebuah negara, telah beransur-ansur menjadi 'ultra nasionalisme' dalam beberapa dekad lalu yang mungkin menjadi replika negara sebelum itu. Rusuhan politik di negara itu berlaku kerana rakyat bukan saja dipisah melalui sikap politik yang berbeza, tetapi yang jauh lebih penting, wujudnya peminggiran etnik.
Usaha menamakan semula negara Siam itu boleh menjadi batu loncatan untuk menyusun penyelesaian yang dinantikan rakyat negara itu, kata ahli akademik tersebut.
Dinamakan Siam, sejak Ayutthaya
Semua orang negara ini telah digelar Siam sejak era pemerintahan Ayutthaya era. Maka, dengan sebab campurtangan British dengan Thai, kaum-kaumMelayu diperangkap dalam beberapa perjanjian mereka.
Menurut Charnvit Kasetsiri, sejak Perang Dunia Kedua bermula, faham Hitler Nazisme di Jerman dan fasisme di Itali dan Jepun. Ketika inilah kerajaan tentera pimpinan Field Marshal Phibulsongkhram (Por) dipengaruhi ultra nasionalisme Nazisme dan fasisme. Akhirnya, nama bangsa Thai menenggelamkan nama Siam, nama sebuah negara.
Tambahnya, perubahan nama Thai kepada Siam adalah untuk membawa keharmonian di negara itu yang terdiri daripada 50 kumpulan etnik dengan bahasa masing-masing. Antara mereka selain Thai adalah Yuan, Laos, Lue, Melayu, Mon, Khmer, Teochiu, Cantonese, Hokkien, Hainan, Hakka, Cham, Sakai, Tamil, Pathan, Parsi, Arab, Phuan, Tai Yai, Phu Tai, Yong, Hmong, Karen, Museur dan Farang, dan sebagainya.
Melayu selatan Thai bukan orang Thai
Dalam temubual di Bangkok Post, Charnvit Kasetsiri menjelaskan bahawa secara etniknya, orang Islam selatan Thai bukan orang Thai, sebaliknya keturunan Melayu. Tapi mereka terpaksa menamakan diri mereka sebagai orang Thai atas dasar kewilayahan.
"Tiada salahnya dengan 'Siam', tetapi istilah itu tak menjelaskan siapakah raja di sini. Ia karut. Apa-apa pun, istilah 'Thai' merujuk bangsa, dan bukan negara itu," kata beliau.
Agak menarik ialah ketika Charnvit Kasetsiri memberi penjelasan asal-usul nama Siam yang menjadi sebab, kenapakah nama Siam itu ternyata lebih baik berbanding Thai untuk diabadikan sebagai nama kepada sebuah negara.
"Siam berasal daripada perkataan purba 'Sam', bermaksud tanah suai tani. Dalam Khmer dan Mon ada istilah 'siem', merujuk nama Siem Reap. Dalam bahasa Burma, ada istilah 'shan', kerana ada Negeri Shan, dan di Jepun, ada istilah 'shamuro'," tambahnya.
Selain itu, tambah akademikus itu, permulaan abjad 's' untuk Siam, dianggap lebih baik untuk nama negara itu berbanding permulaan abjad 'th', untuk Thailand, yang kedengaran seperti 'Taiwan' kepada orang-orang Barat.
Kekuatan kejujuran intelektual Thai
Selain usaha kita dalam menolong Melayu di selatan Thai, perlu dilibatkan juga kekuatan intelektual di universiti Thai selain pergerakan politik, ketenteraan dan intelektualis untuk mendorong kemajuan perdamaian di wilayah berkenaan.
Kita tak boleh melihat penyelesaian ini melibatkan politik sahaja. Terbukti, Parlimen kita sendiri telah menolak perbincangan berhubung usul membincangkan kemelut di wilayah tersebut. Rais Yatim tidak dapat berbuat apa-apa dengan alasan, sesama negara Asean tak boleh mencampuri urusan pergolakan dalam negara masing-masing.
Rasa-rasanya, tafsiran dan debat ke atas prinsip tidak campurtangan antara sesama negara Asean ini masih boleh dikaji semula.
Sedangkan wilayah Palestin yang bergolak kerana dibedil tentera Israel boleh kita peduli dengan menubuhkan tabung bantuan dan menggerakkan kempen kesedaran mengenainya kenapa dalam isu ini, seperti tiada kumpulan yang wujud untuk mengatur gerakan melobi dan pergerakan intelektual untuk tujuan merawat masalah yang sama?
No comments:
Post a Comment