BERNAMA
KUALA LUMPUR -- Pelayaran Kapal Auxiliary Bunga Mas 5 (BM5) ke Teluk Aden hari ini membuktikan kerjasama dan perkongsian strategik antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC).
Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Badaruddin berkata perkongsian strategik itu turut menggabungkan kekuatan pasukan tetap Angkatan Tentera Malaysia termasuk TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang diserap ke dalam Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) bagi menjaga keselamatan kapal-kapal dagang Malaysia di Teluk Aden.
"Kapal BM 5 telah melakar sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya menjadi kapal dagang pertama yang ditranformasikan menjadi sebuah kapal Auxiliary TLDM.
"BM 5 yang bersaiz 132.8 meter panjang dan mempunyai lebar 22.7 meter berupaya beroperasi dalam kelajuan lebih 17 knot. Kapal ini turut dilengkapi dengan 'hangar' bagi menempatkan pesawat Superlynk dan bot tempur milik TLDM untuk melaksanakan operasi defensif mahupun ofensif apabila diperlukan," katanya dalam satu kenyataan di sini Isnin.
Ahmad Kamarulzaman berkata kapal itu telah memulakan pelayaran sulungnya dari Jeti Operasi Pangkalan TLDM Lumut pada pukul 8.10 pagi tadi dengan diketuai Komander Ahmad Zaki Abdullah bersama-sama 59 krew kapal.
Katanya, usaha menyerapkan salah sebuah kapal MISC ke dalam inventori TLDM adalah satu langkah yang bijak dan merupakan penyelesaian jangka panjang terhadap keselamatan aset dagangan negara.
"Kapal Auxiliary ini mempunyai keupayaan yang tinggi dan secara tidak langsung ia dapat memastikan kapal-kapal dagang Malaysia dan kepentingan aset maritim di Teluk Aden tidak diancam," katanya.
Kapal Auxiliary BM 5 itu dijangka beroperasi di Perairan Teluk Aden dalam tempoh tiga bulan sehingga penghujung September ini.
Siri kejayaan Operasi Fajar atau 'Ops Fajar' yang dilaksanakan TLDM sebelum ini terbukti apabila TLDM berjaya menyelamatkan dua buah kapal MISC iaitu MT Bunga Melati 5 dan Mt Bunga Melati 2 yang ditawan lanun tahun lepas.
MT Bunga Melati 5 bersama 41 anak kapal iaitu 36 rakyat Malaysia dan lima warga Filipina ditawan lanun di perairan Teluk Aden, dalam pelayaran dari Singapura ke Yanbu, Arab Saudi.
Sepuluh hari sebelum itu, MT Bunga Melati 2 yang membawa muatan minyak sawit bersama 39 anak kapal, turut ditawan lanun di perairan yang sama.
No comments:
Post a Comment