BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa semua warga sekolah yang diarah tutup kerana penularan Influenza A(H1N1) supaya melaksanakan 'kuarantin sendiri' di rumah dan tidak bergaul dengan orang ramai seperti menghadiri majlis keraian atau kelas tuisyen.
Liow juga mahu mereka mengamalkan cara hidup yang sihat, lebih menjaga kebersihan diri dan pastikan tidak menjangkiti orang lain.
Sambil menasihati orang ramai agar tidak panik, Menteri itu berkata kerajaan juga tidak bercadang untuk menutup semua sekolah di negara ini kecuali penyakit itu merebak secara meluas.
Liow berkata buat masa ini kerajaan juga tidak boleh melarang orang ramai untuk pergi ke luar negara kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang melarang mana-mana pihak untuk melawat mana-mana negara.
"Kami berharap orang ramai dapat mengikut nasihat Kementerian Kesihatan, agar tidak melawat negara-negara di mana penularan wabak itu berlaku secara tempatan seperti Australia, Filipina dan Amerika," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen hari ini.
Liow turut menggalakkan orang ramai termasuk pelajar yang baru pulang dari luar negara supaya kuarantinkan diri selama seminggu di rumah walaupun tidak mengalami simptom penyakit itu.
Sementara itu pada sidang akhbar yang sama Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong berkata kementerian menyerahkan kuasa dan budi bicara kepada pengetua sekolah bagi membuat penyelarasan dalaman untuk mengarahkan pelajar yang baru pulang dari luar negara, khususnya Amerika, United Kingdom, Australia dan Filipina, supaya tidak datang ke sekolah buat sementara waktu demi untuk mencegah penularan H1N1 di sekolah mereka.
Setakat ini, Kementerian Kesihatan mengarahkan dua sekolah ditutup selama seminggu iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJK (C) Jalan Davidson di sini dan Sekolah Rendah Kebangsaan Assunta 2 di Petaling Jaya.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata kementerian itu juga mengeluarkan arahan penutupan satu kelas bermula hari ini kepada tiga lagi sekolah iaitu Sri Cempaka International School di Cheras, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 Shah Alam, dan Sekolah Menengah Damansara Utama di Petaling Jaya bermula hari ini.
No comments:
Post a Comment