Monday, June 22, 2009

Kelebihan satu undi 'selamatkan' akta DNA

Oleh G. MANIMARAN


KUALA LUMPUR: Hanya dengan kelebihan satu undi sebahagian Rang Undang-undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) yang melalui peringkat jawatankuasa majlis diluluskan lewat petang ini.

Seksyen Dua rang undang-undang itu diluluskan dengan 48 menyokong dan 47 membantah apabila pengundian secara belah bahagi dijalankan.

Difahamkan ini kali pertama Dewan Rakyat menyaksikan kelulusan satu rang undang-undang atau mana-mana seksyen diluluskan dengan kelebihan satu undi.

"Sejak saya menjadi anggota Dewan Rakyat, bermula tahun 1990, ini adalah kali pertama satu rang undang-undang diluluskan dengan kelebihan undi sangat tipis," kata Timbalan Speaker, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika ditemui di lobi Parlimen.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, R. Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Subang menggambarkan rang undang-undang yang kompleks itu "hampir gagal."

Ketika pengundian dijalankan, sesi Dewan Rakyat dipengerusikan oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Pandikar membenarkan pengundian belah bahagi atas permintaan 15 anggota Dewan Rakyat, kebanyakannya dari Pakatan Rakyat.

Loceng dibunyikan bagi membolehkan ahli-ahli Parlimen memasuki Dewan Rakyat kira-kira pukul 5.30 petang.

Di akhir pengundian 48 anggota Dewan Rakyat menyokong manakala 47 membantah.Rang undang-undang itu mempunyai 27 seksyen.

Hari ini Dewan Rakyat mula membahaskan lima seksyen yang dipinda selepas ia ditolak pada sesi Mac lalu.

Seksyen Dua itu membabitkan aspek intepretasi dan definisi pengendalian ujian DNA.

Sejurus selepas keputusan pengundian diumumkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz keluar Dewan Rakyat dalam keadaan tidak ceria dan tergesa-gesa.

Beliau kemudian kelihatan menghubungi beberapa pihak dari dewan rehat ahli-ahli Parlimen.Bagaimanapun beliau tidak menemui wartawan.

Ketika mesyuarat Dewan Rakyat ditangguhkan ia masih membahaskan Seksyen Tiga yang berkaitan dengan pembentukan bank DNA.

No comments: