Tuesday, June 2, 2009

Kit Siang Cabar Najib: Dapatkan undi percaya di Parlimen

TV ANTARA


Penasihat DAP Lim Kit Siang hari ini menggesa Najib Razak untuk mendapatkan usul kepercayaan terhadap kepimpinannya daripada ahli parlimen UMNO dan Barisan Nasional pada sessi baru Parlimen bulan ini.

Usul sedemikian akan membolehkan Najib mengukur sokongan UMNO-BN untuk beliau dalam menangani kemelut seperti di Perak dan keretakan yang semakin parah dalam UMNO dan Barisan Nasional.

“Najib seharusnya mendapatkan usul kepercayaan apabila Parlimen bersidang pada 15 Jun, jika tidak, adakah ia kerana beliau khuatir tidak akan mendapat sokongan 100 peratus daripada Ahli Parlimen UMNO dan Barisan,” kata Kit Siang.

“Mantan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Hussein Onn masing-masing meletakkan usul kepercayaan terhadap kepimpinan mereka sebagai agenda pertama apabila Parlimen bersidang,” kata Kit Siang.

“Persoalannya kenapa kah Najib khuatir untuk mengikut jejak mereka.” Tambah beliau. Merujuk kepada pilihanraya kecil Penanti, Kit Siang membidas Najib yang menyifatkan kemenangan Pakatan Rakyat bukan sesuatu yang harus dibanggakan oleh gagasan itu.

Kit Siang berkata kenyataan Najib itu bertujuan menutup kelemahan UMNO sendiri sehingga parti itu takut untuk turun padang berdepan dengan rakyat.

“Najib seharusnya berasa malu membuat kenyataan seperti itu kerana UMNO dan Barisan Nasional yang dipimpinnya takut untuk bertanding di Penanti. Ini kerana Najib takut untuk mengalami kekalahan ketiga sejak menjadi Perdana Menteri pada Mac lalu,” kata Kit Siang.

BN-UMNO telah tewas di pilihanraya kecil Penanti, Bukit Gantang dan Bukit Selambau sejak Najib mengambil alih tampuk negara.

Sebelum itu UMNO turut tewas di pilihanraya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Di Penanti, calon Parti Keadilan Rakyat Mansor Othman memperolehi majoriti undi 5,558, mengalahkan tiga calon bebas.

Mansor mendapat sokongan hampir 90 peratus pengundi yang keluar mengundi. Beliau meraih 6,052 undi manakala lawan terdekatnya, Nai Khan Ari mendapat 494 undi.

Aminah Abdullah yang menabur fitnah kononnya ditawar imbuhan oleh pakatan rakyat untuk menarik diri cuma mendapat 392 undi manakala calon bebas ketiga Kamarul Ramizu Idris hanya mampu meraih 56 undi.

No comments: