Tuesday, June 2, 2009

Jaya Supermarket: Bekas wartawan tuntut gantirugi

Abdul Rahim Sabri


Seorang bekas wartawan yang tinggal berdekatan dengan bangunan pusat membeli belah Jaya Supermarket yang runtuh Khamis lalu, membuat tuntutan gantirugi kepada pemilik dan kontraktor bangunan itu terhadap kerosakan harta bendanya.

Azlan Ahmad yang tinggal kira-kira 15 kaki dari bangunan tersebut berkata, kejadian megakibatkan empat keretanya mengalami kerosakan.

Beliau mendakwa keretanya mengalami kesan kemek dan calar balar ditimpa serpihan batu dari runtuhan berkenaan.

Azlan juga mendakwa debu yang berterbangan memenuhi halaman rumahnya, sehingga bliau terpaksa membeli bahan kimia untuk membersihkan penghawa dingin di rumahnya.

Sehubungan itu, Azlan mengemukakan tuntutan gantirugi yang dianggarkan kira-kira RM 11,500 kepada pemaju dan kontraktor yang dilantik untuk merobohkan bangunan itu.

Menurut Azlan, beliau mengemukakan tuntutan tersebut kepada pemilik bangunan dan kontraktor, Sabtu lalu melalui kiriman pos laju.

Ketika ditemui tengah hari ini, Azlan berkata, beliau dimaklumkan bahawa surat tuntutannya telahg sampai ke tangan pihak pemilik dan kontraktor yang dilantik untuk meruntuhkan bangunan tersebut, semalam.

Beri tempoh hingga Sabtu

Bagaimanapun, Azlan berkata, beliau masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pihak terbabit.

Katanya, mereka diberi tempoh Sabtu ini sebelum beliau memutuskan mengambil tindakan yang seterusnya.

Pada kejadian Khamis lalu, bangunan yang berusia lebih 35 tahun runtuh dan mengorbankan tujuh pekerja yang terperangkap di dalamnya.

Manakala 69 penghuni di Jalan 14/15 berhampiran tapak Bangunan Jaya Supermaket itu telah diarahkan berpindah oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan polis demi keselamatan mereka.

Kesemua penghuni ditawarkan oleh pemaju untuk berpindah ke tiga hotel - Hotel Armada, Crystal Crown dekat situ dan Hotel Sunway di Subang Jaya.

Azlan bagaimanapun hairan mengapa MBPJ tidak mengarahkan mereka berpindah dari situ kerana rumah mereka juga tidak jauh dari runtuhan bangunan tersebut.

Sebaliknya, kata beliau, MBPJ hanya memberi surat peringatan agar mereka sentiasa berwaspada ekoran kejadian tersebut.

Bimbang keselamatan

Bapa kepada enam orang anak ini, berkata, beliau sekeluarga bimbang keselamatan mereka kerana rumahnya hanya kira-kira lima 15 kaki dari tempat kejadian.

Sementara itu, isterinya, Raja Zarina Raja Othman, 47, turut menyatakan kebimbangannya terhadap keselamatan mereka sekeluarga ekoran kejadian tersebut.

Katanya, mereka tidak menerima sebarang tawaran untuk berpindah dari mana-mana pihak, termasuk pemaju.

"Nak pindah ke mana, melainkan berdoa kepada Allah," kata Raja Zarina ketika ditemui berhampiran kawasan runtuhan itu semalam.

Menurut Raja Zarina, yang juga seorang pensyarah, mereka telahmenetap di situ sejak lebih 40 tahun lalu.

Sementara itu, Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Roslan Sakiman, berkata, pihaknya turut mengetatkan kawalan keselamatan di kawasan perumahan yang dikosongkan oleh penduduknya.

Ketika ditemui oleh Malaysiakini di tempat kejadian semalam, beliau berkata, pihaknya telah menyediakan empat pos keselamatan yang melibatkan lebih 20 anggota, termasuk anggota polis.

Sementara itu, tinjauan Malaysiakini mendapati, setiap pos menempatkan sekurang-kurangnya, dua anggota penguatkuasa MBPJ.

Mohd Roslan berkata, kawalan tersebut dilakukan 24 jam sehingga laporan tentang punca keruntuhan bangunan tersebut dijangka diketahui Jumaat ini.

"Sebarang keputusan dan tindakan bergantung kepada laporan Ikram (Institut Kerja Raya Malaysia), Jumaat ini," katanya.

Ikram dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja dipertanggunjawabkan oleh kerajaan Selangor untuk mengkaji dan menyediakan laporan berhubung insiden tersebut.

No comments: