HARAKAH DAILY
MENJELANG pembukaan sesi persekolahan yang baru 5 Januari lalu, tiba-tiba Umno mendapat idea jahat terkini untuk memomokkan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak.
Pada petang 4 Januari keluar SMS (khidmat pesanan ringkas) di kalangan pemimpin Umno Perak yang berbunyi: "Jam 9.00 pagi 5/1/09 bawa Tan Sri Muhammad Taib (Menteri Pembangunan Luar Bandar) ke Dewan Tadika Kemas Sri Ampang di mana pelajar tadika Kemas dihalang masuk dewan oleh arahan kerajaan negeri, boleh jadi isu kempen kita di Kuala Terengganu."
Maka pada pagi tersebut tidak kurang daripada 50 orang pemimpin Umno di pelbagai peringkat (dari Ahli cawangan sehinggalah Menteri) berduyun-duyun tiba di premis tersebut.
Seawal 7.40 pagi, wakil-wakil media TV3 dan RTM, Jabatan Penyiaran, Jabatan Kemas menunggu di situ. Siapa yang menjemput pihak media tersebut?
Mendapat respon daripada SMS tersebut dan arahan tegas YAB Menteri Besar Perak supaya semua dewan yang digunakan oleh Kemas di Negeri Perak bagi kelas tadika tidak dihalang, maka seawal 7.30 pagi pihak JKK Sri Ampang telah membuka kunci pagar dan kunci pintu dewan.
Silapnya rantai pagar yang tidak berkunci tidak dialihkan.
Apabila penulis sampai ada tiga pelajar tadika menunggu di luar pagar bersama ibu bapa dan seorang guru tadika perempuan berumur sekitar 40-an.
Khuatir suasana itu boleh dijadikan modal lakonan di media, penulis mengarahkan pintu pagar dibuka seluas-luasnya dan meminta pelajar masuk ke dalam dewan.
Drama Umno/Kemas tersebut terserlah apabila tiba-tiba guru Kemas cuba menghalang daripada pintu pagar tersebut dibuka dan mengambil rantai pagar untuk dililit kembali supaya lakonan dapat dipanjangkan sementara menunggu para-para tetamu beliau.
Cikgu tersebut sibuk menelefon meminta tetamunya datang segera ke Sri Ampang. Tentulah tetamu VIPnya adalah Menteri yang secara kebetulan berada di Perak!
Guru tersebut berkeras mengapa hanya sekarang (pagi tersebut) dewan dibenarkan dibuka. Mengapa tidak beberapa hari lebih awal. Isunya mudah. Kerajaan negeri tidak pernah menghalang kelas Tadika Kemas beroperasi.
Isu timbul kerana apabila pihak JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) mengenakan peraturan penggunaan dewan supaya pihak Kemas meminta kunci secara rasmi bagi kegunaan tadika daripada pihak JKKK.
Guru tersebut dilaporkan berkata kepada Ketua Kampung (yang secara kebetulan seorang ustaz bekas pensyarah Politeknik) bahawa beliau tidak akan mahu berjumpa Ketua Kampung untuk mengambil kunci.
Pihak Umno melalui Ketua Bahagiannya menegaskan Ketua Kampung yang sepatutnya meminta kebenaran daripada Kemas jika menggunakan dewan.
Alasannya Dewan itu hak milik Kemas kerana 'orang-orang Umno' yang bersusah payah mendirikannya 20 tahun dahulu.
Bagi JKKK pula, dewan tersebut milik kerajaan dan boleh digunakan oleh sesiapa sahaja untuk aktiviti masyarakat (selain aktiviti politik) kerana dewan itu didirikan di tanah kerajaan. Namun Kemas tidak pernah dihalang untuk terus beroperasi.
Apa yang sebenarnya diperlukan adalah kajian tentang status dewan-dewan orang ramai di seluruh negeri Perak dan peraturan bertulis tentang penggunaan Dewan supaya tidak ada lagi dewan-dewan orang ramai yang dijadikan bilik gerakan pilihan raya Umno/BN.
Tindakan lebih tegas juga diperlukan bagi menangani media tiga suku yang 'hostile' kepada Kerajaan Perak kini.
Antaranya disarankan supaya tindakan undang-undang diambil ke atas Utusan Malaysia kerana menyiarkan dalam ruang Awang Selamat (6 Januari 2009) bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dan Selangor adalah sezalim Yahudi Israel kerana menghalang pelajar-pelajar Tadika Kemas dalam keadaan Utusan Malaysia menyedari Kerajaan Perak telah pun mengadakan sidang akhbar pada 5 Januari 2009 menafikan tindakan tersebut.
Buktinya di seluruh negeri Perak beratus-ratus Tadika Kemas masih terus beroperasi seperti biasa di dewan orang ramai milik Kerajaan.
No comments:
Post a Comment