Wednesday, January 7, 2009

Judi..nombor ekor, barah lama yang tak dicegah sepenuhnya?

Ali Bukhari Amir


Dalam masyarakat kita, terlalu banyak unsur-unsur yang membawa kerosakan. Salah satu daripada kerosakan itu ialah judi. Namun, dalam beberapa keadaan tertentu 'industri' perjudian itulah antara yang kita tumpukan sekarang ini.

Industri perjudian terkait dengan lesen. Dan lesen perjudian pula ada berkait rapat dengan persetujuan daripada pemerintah di sesebuah negara terhadap industri itu. Sejak beberapa lama, Magnum, Toto dan sebagainya telah beroperasi.

Dan malangnya, orang Melayu Islam kita juga yang telah banyak menimbulkan masalah di dalam hal ini.

Ada beberapa cara untuk melenyapkan industri perjudian di Malaysia. Pertamanya, JIKA parti Islam menang. Adapun kelemahan syor ini ialah, ianya tergantung kepada perkataan JIKA. Jika parti Islam kalah, maka industri judi akan berterusanlah hendaknya.

Cara kedua ialah dengan menggiatkan kempen agar rakyat kita, khasnya bangsa Melayu tidak lagi berjudi. Ini juga susah kerana tokoh-tokoh kenamaan kita juga berkenalan rapat dengan para tokoh kapitalis Magnum, Toto dan mereka pun ada kepentingan 'share'.

Lagi pula, mereka inilah yang akan menaja biaya untuk keperluan parti menjelang pilihan raya umum nanti. Maka, hubungan parti pemerintah dengan taukeh-taukeh judi ini seperti 'win-win situation'; pendekatan menang sama-sama menang.

Pendek kata.. kalau kita mahu menggunakan kuasa politik, sama ada parti Islam dan juga parti sekular (kini berubah rentak sebagai parti yang cuba menawarkan pakej rupa paras keislaman dengan gaya hadhari), maka perusahaan judi di negara ini tetap kekal juga.

Ini kerana, ramai ahli masyarakat hari ini jauh daripada etika, moral dan akhlak.

Apabila orang Melayu terjebak dengan judi, anda boleh melihat tok bomoh sesat di kaki lima berdekatan Pasar Seni yang menyebut basmallah, menggunakan nama Allah supaya dia dapat menjual nombor-nombor ekor kepada orang-ramai yang melihat aksinya.

Di Johor Bahru, pernah saya melihat seorang bomoh palsu membuat aksi silap mata, lalu terkeluar nombor-nombor ekor yang boleh dijual di kaki lima. Hampir kesemua 'bomoh-bomoh' ini pada akhir matlamat pertunjukannya akan menjual nombor-nombor ekor.

"Saya dulu Kristen, sudah mendapat hidayah Tuhan, lalu peluk Islam," kata beliau sambil menggagau kertas-kertas dalam kain pelekatnya. Sebentar kemudian.. beberapa kepingan kertas itu akan terisi dengan nombor-nombor ekor.

Cakap-cakap mereka ini yang kadang-kadang diselitkan istilah tawakal kepada Allah dan berselawat menimbulkan keraguan, membenihkan kekeliruan dan mengundang syak pada hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Nak kata salah, kenapa kerap sangat dia berselawat. Tetapi hukum bertikam nombor ekor dan main judi itu memang sah terkeluar daripada petunjuk agama kita.

Itu aksi di tengah kota-kota besar. Sikap berjudi ini kalau tak dibanteras dan dikawal akan menimbulkan kerumitan dalam bidang lain pula seperti pemujaan nombor ekor.

Habislah sudah puncak Gunung Jerai, Gunung Ledang, Pulau Besar dan Tanjung Tuan diredahnya untuk pemujaan di kubur buatan yang kononnya dinamakan sebagai tok syeikh itu.

Kesimpulannya, amalan berjudi, bertikam nombor ekor ini boleh menyebabkan seseorang itu tergelincir aqidah dan membawa kepada amalan syirik pula.

Bagaimanakah mahhu dirawat barah yang semakin merebak sedikit demi sedikit sehingga menebas tangkai jantung umat ini?

Merawat penyakit judi secara berperingkat

Apa yang pasti, ia tidak boleh dirawat begitu mudah dan dihilangkan penyakitnya dalam tempoh yang singkat. Seperti rawatan fizikal, kita perlu tahu ada penawar dalam bentuk vaksin, antidot dan jenis rawatan ini bukanlah menawarkan kesembuhan sepenuhnya.

Tiada rotan akar pun berguna. Walaupun kita sukar mencari penawar berjudi 100 peratus, maka usaha pencarian vaksin dan antidot pun sudah memadai buat masa ini.

Salah satu vaksin dan antidot buat sementara waktu ialah syor guru wartawan saya yang memakai nama pena, T S Lanang. Biar saya namakan formula vaksin ini sebagai Formula Lanang. Formula ini akan menyentuh usaha mengelakkan Melayu berjudi.

"Kita tak boleh tutup judi sepenuhnya buat masa sekarang," kata beliau kepada saya suatu hari. "Tapi, kita boleh tumpukan usaha mengurangkan Melayu berjudi terlebih dulu."

Pertama, katanya, kerajaan perlu wujudkan satu keadaan di mana orang-orang Melayu ini tidak akan mendapat hadiah wang hatta dalam keadaan bagaimanapun, walaupun mereka ini menang.

Bererti, kalau ada Melayu yang dapat tempat pertama, kedua dan seterusnya.. tetap sahaja wang hadiah itu tidak diberikan kepada orang Melayu.

1. Samada kita meletakkan papan tanda bahawa orang Melayu diharamkan berjudi atau tidak, orang Melayu Muslim kita tetap berjudi juga.
2. Pemilik premis perjudian pun tentu mahu terima wang orang Melayu ini walaupun papan tanda itu jelas mengharamkan orang-orang Islam membeli nombor ekor.
3. Jika ada orang Melayu yang menang nombor ekor, maka pemilik premis perniagaan ini boleh menghubungi balai polis kalau orang Melayu itu berkeras mahu menuntut juga wang mereka.
4. Sudah tentu para pemilik premis ini akan bertindak mencari jalan dan berikhtiar untuk mendapatkan semula wangnya daripada jatuh ke tangan orang Melayu ini.
5. Apabila timbul kes-kes seperti ini, kita berdoa semoga dalam tempoh yang panjang, maka lama-kelamaan para penikam nombor ekor pun akan mula bengang dengan peraturan semacam ini dan mereka lama-kelamaan akan bosan menikam ekor.
6. Akhirnya, mereka berkata, "Huh! Kalau aku tikam ekor pun.. bukan dapat duit..".

Sekali lagi, ini bukan penawar sepenuhnya. Ini cuma vaksin dan antidot untuk selesaikan masalah jangka pendek yang bertujuan menyelamat wang dan maruah Melayu, Islam di negara ini daripada terus terjebak dalam amalan membazir dan khurafat.

Maka, apabila orang Melayu mulai bosan menikam nombor ekor, sudah tentulah mereka berkata, "Tiada guna lagi kita menziarahi bomoh-bomoh di Pasar Seni, meredah hutan di Gunung Ledang guna menurun nombor ekor lagi. Buat penat dan cari penyakit saja."

Sekian, Formula Lanang.. Wallahu Ta'ala 'Alam..

Pihak berwajib dalam isu judi

Semua pihak, tak kira apa pun bangsa dan kepercayaannya akan disoal mengenai apakah yang telah kita lakukan di dunia ini.

Jika kita tidak menikam nombor ekor sekali pun, kita akan disoal, 'Apa yang kamu lakukan untuk menyedarkan mereka agar tidak berjudi?'

Ertinya, jangan fikir mudah bahawa dengan solat dan puasa kita sahaja, kita akan terlepas daripada pertanyaan semacam ini. Kenapa kita tak bergerak, sesuai dengan kekuatan kita untuk memastikan masyarakat tidak terjebak dengan amalan haram ini?

Itu di peringkat orang bawahan. Pihak atasan yang meluluskan lesen perjudian bagaimana pula halnya? Maka bertitik-tolak daripada semangat inilah maka ada seorang lelaki dalam lingkungan 60-an telah bertindak mengirim surat ke Harakah Daily mengenai isu ini.

Saudara sidang pembaca boleh meneliti isi kandungan surat ini di http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=018634&Itemid=46

Ekoran daripada itu, pada 5 Januari lalu, beliau turut dihujani pertanyaan oleh seseorang yang tidak dikenali. Andaian awal, beliau sangkakan panggilan itu datang daripada SB. Wallhu'alam..

"Dia takut ditangkap di rumah," kata adiknya, "jadi.. petang tadi dia terus lari dari rumah. Dia tak mahu kami diapa-apakan jika dia tertangkap di rumah."

Saya ambil kesempatan di sini untuk menyeru penelefon itu agar menghubungi saya bagi menjelaskan kenapa anda berbuat begitu? Siapa upah anda?

Atau, adakah anda ini wakil yang dapat menghubungkan kami dengan mana-mana ahli Parlimen untuk mewakili kami mengetengahkan isu judi dan tikam nombor ekor ini. Siapa anda sebenarnya?

Anda tahu bagaimana mahu menghubungi saya, bukan? Guna segala kebijaksanaan.

Apabila memikirkan kejadian ini, saya semakin syak dan ragu-ragu dengan penguatkuasa undang-undang seperti polis dan pihak penguatkuasa agama sendiri.

Insan yang jelas bersalah menikam nombor ekor jarang-jarang diburu, operasi entah bila? Di suatu sudut lain, orang yang cuba mengetengahkan isu ini pula yang diburu-buru.

Pembawaan polis semakin merosot

Syak kita kepada golongan penguatkuasa ini makin menjadi-jadi dan membarah pula. Di Kajang, baru-baru ini seorang wanita dalam kenyataan kepada media berkata bahawa ada percubaan mencabul kehormatannya oleh seorang petugas di pusat perubatan.

Ekoran itu, wanita itu terus membuat laporan polis. Dengan biadap dan kurang ajar beliau diminta menarik balik laporan dan beliau diminta agar tidak memanjangkan kes itu.

Ungkapan yang lahir daripada wanita malang inilah yang menyebabkan hati mereka yang menyintai kebenaran bertambah membara!

Wanita itu, dalam kenyataan medianya kepada TV9 dan TV3 berkata..

"..setiap laporan polis dan laporan kepada IPK itu tidak berkesan kerana syarikat ini besar dan mereka mempunyai kuasa mengambil wang bagi menyelesaikan masalah itu melalui rasuah," kata wanita itu. "Dia juga berkata, Malaysia tiada undang-undang."

Nampaknya, daripada kenyataan wanita itu, polis dan penguatkuasa sudah tiada harganya dan tidak lagi digeruni. Mereka boleh dibeli dengan wang yang banyak. Ini bukan ucapan wanita itu, tetapi merujuk kepada ucapan pihak yang terbabit dalam penganiayaan ke atas wanita malang tersebut.

Tahniah, wanita itu berani tampil ke depan dan menghebahkan isi dan intipati perbualan beliau dengan pihak pengugut.

Ramai lagi lagi diugut sebenarnya.. mahasiswa, pensyarah diancam dan yang terbaru, kes seorang lelaki tua yang cuma mahu mendapatkan maklum balas berhubung suratnya berkaitan judi dan tikam nombor ekor itulah.

Syahadan..inilah barah dalam masyarakat kita. Bermula daripada institusi pendidikan dan lainnya, semua membarah dan berjangkit ke bahagian lain. Barah ini akan menyentuh ke suatu daerah anggota yang masih dara dan suci daripada kerosakan.

Judi, pelacuran, tikam nombor ekor sehingga amalan ini merebak kepada gejala memuja kubur yang akhirnya mengheret orang Islam ke lembah syirik.. siapakah yang akan dapat bertanggungjawab ke atas semua hal ini?

No comments: