BERNAMA
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mewujudkan kaedah pendaftaran pemilih secara online dalam usaha menggalakkan warganegara yang layak mengundi mendaftar sebagai pengundi.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata kaedah itu akan memudahkan orang ramai terutamanya golongan muda mendaftar daripada komputer masing-masing dan ia akan dijalankan secepat mungkin iaitu sebaik sahaja kajian mengenainya selesai.
"Kini terdapat empat juta warganegara yang layak mengundi tetapi masih belum berdaftar dengan SPR dan kebanyakannya terdiri daripada golongan muda berumur 20an," katanya selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Terengganu, di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha SPR, Datuk Ngah Senik.
"Kami juga berharap pihak NGO seperti Malaysians for Free and Fair Elections (Mafrel) dan parti-parti politik akan membantu menarik minat orang ramai mendaftar sebagai pengundi," katanya.
Dalam perjumpaan hampir 50 minit itu, Abdul Aziz berkata beliau menerangkan kepada Tuanku Mizan mengenai perjalanan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari lepas.
Beliau berkata proses penganjuran pilihan raya itu merupakan yang terbaik setakat ini dan akan menjadi tanda aras atau contoh untuk pilihan raya akan datang.
"Tuanku gembira dan bertitah agar kami menjalankan tugas dengan saksama, adil, tidak berat sebelah dan profesional," katanya.
Abdul Aziz dilantik sebagai Pengerusi SPR pada 31 Disember, manakala Datuk Ngah Senik sebagai Setiausaha pada 16 November tahun lepas.
No comments:
Post a Comment