Oleh ARIFUDDIN ISHAK
KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari kelima hari ini - untuk mengesan mangsa yang kelima, seorang pembantu rumah dari Sri Lanka yang turut dipercayai tertimbus, dihentikan petang ini.
Operasi itu dihentikan pukul 2 petang tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, keputusan itu diambil berdasarkan beberapa faktor seperti keselamatan anggota penyelamat dan keadaan semasa.
Malah kata beliau, operasi yang disambung sejak pagi tadi diteruskan sehingga meliputi kawasan seluas lima meter dari tempat mendiang Dr. N. Yogeswari ditemui.
Usaha mengesan pembantu rumah itu dijalankan sejak tiga hari lalu.
Mereka yang terkorban dalam insiden tanah runtuh yang menimbuskan 14 banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama awal Sabtu lepas ialah Yogeswari, 40, akauntan Eng Yee Peng, 30, Shaiful Khas Datuk Shahrudin, 20 dan warga Indonesia Surinah, 30an.
Mengulas lanjut, Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Soiman Jahid berkata, operasi SAR yang dijalankan sebelum ini berdasarkan maklumat yang diberikan.
Namun, katanya, usaha tersebut gagal dan kehilangan wanita Sri Lanka itu tidak dapat dikesan.
Kata beliau, banyak faktor boleh mempengaruhi kehilangan pembantu rumah berkenaan.
"Banuak faktor dan kemungkinan mangsa gagal ditemui dan usaha sebaik mungkin telah dibuat, namun saya tidak mahu membahayakan anggota petugas," katanya.
Katanya, jika benar mangsa masih terperangkap dalam runtuhan, peluang untuk hidup sehingga sekarang sangat tipis.
No comments:
Post a Comment