Thursday, December 11, 2008

Kedudukan jambatan kekal terpaksa diubah ekoran protes penduduk

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kedegilan sesetengah penduduk menyukarkan usaha pihak berkuasa untuk membina jambatan kekal bagi menggantikan jambatan sementara sebagai laluan masuk kepada penduduk yang terjejas akibat bencana tanah runtuh di Bukit Antarabangsa Sabtu lalu.

Menurut seorang pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) yang enggan dikenali, ekoran protes oleh penduduk pangsapuri Riverdale Park, kedudukan jambatan kekal itu terpaksa diubah.

Pada mulanya, jambatan baru itu dicadangkan dibina bersebelahan jambatan taktikal yang siap dua hari lepas.

Beliau berkata penduduk membantah pembinaan jambatan baru itu dengan alasan ia akan menggganggu kehidupan seharian mereka memandangkan pembinaannya dibuat di dalam kawasan perumahan mereka secara kekal.

"Kita sepatutnya menggantikan jambatan sementara tersebut dengan jambatan kekal, bagaimanapun selepas kita sudah membawa masuk batubatu untuk dibuat jalan Selasa lepas, penduduk mula membantah.

"Justeru kita terpaksa membina jambatan kekal itu betul-betul bersebelahan dengan pencawang elektrik TNB yang jalannya tidak begitu bersesuaian dan lebih sempit dari yang dicadangkan.

"Bagaimanapun, kami terpaksa melaksanakan atas arahan mereka yang berkenaan," katanya.

Beliau berkata jambatan itu akan dibina menggunakan rasuk keluli merentasi longkang besar dari Jalan Bukit Antarabangsa ke Jalan Bukit Mewah 2 dan akan menjadi jalan utama kepada penduduk di sekitar kawasan yang terjejas akibat tanah runtuh sebagai laluan untuk keluar masuk.

Bekalan elektrik di sekitar Bukit Antarabangsa termasuk di bilik gerakan dan pusat media kembali pulih kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

Sementara itu Anggota Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali berkata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan berjumpa wakil penduduk dalam masa beberapa hari lagi untuk membincangkan masalah dan mengemukakan jalan penyelesaian kepada mereka.

"Pada mesyuarat Exco kerajaan negeri khas malam ini beberapa perkara telah dibincangkan, termasuk beberapa masalah besar yang dialami oleh mangsa-mangsa tragedi dan beberapa penyelesaian yang telah dicapai dalam mesyuarat itu.

"MB (Menteri Besar) akan berkongsi maklumat ini dengan penduduk dalam beberapa hari yang akan datang. Kita telah aturkan supaya MB akan bertemu dengan semua wakil-wakil penduduk dari kawasan-kawasan yang terlibat," kata Azmin selepas berjumpa wakil penduduk malam ini.

No comments: