Samy Vellu: Tiada syarat atau tekanan isu Hindraf
BERNAMA
IPOH: MIC tidak akan meletakkan sebarang syarat atau tekanan ke atas kerajaan untuk membebaskan lima pemimpin Hindraf yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri, kata Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu hari ini.
"Kita mahu memberi kebebasan dan kepercayaan sepenuhnya kepada Menteri Dalam Negeri untuk membuat keputusan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program penjenamaan semula MIC di sini.
MIC akan terus berusaha untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan bagi membebaskan mereka walaupun ada pihak yang tidak senang hati dengan usaha MIC itu, katanya ketika ditanya sama ada parti itu akan meminta kerajaan supaya membebaskan kelima-lima pemimpin Hindraf itu sebelum Deepavali pada 27 Okt ini.
Samy Vellu berkata beliau akan bertemu dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar minggu depan untuk memohon sekali lagi supaya mereka dibebaskan selepas berbincang mengenai isu itu semasa mereka berjumpa pada hari raya pertama.
Katanya usaha MIC itu adalah selaras dengan matlamat parti itu bagi membela dan menjaga kepentingan serta hak setiap masyarakat India di negara ini.
"MIC meneruskan usaha ini atas dasar perikemanusiaan kerana keluarga mereka sedang menderita dan memerlukan bantuan. Adalah sesuatu yang nakal untuk berkata bahawa MIC melakukan usaha ini untuk mendapat publisiti atau menjadi popular," katanya.
Mengenai isu rakyat Malaysia keturunan India yang memiliki status 'bukan warganegara', Samy Vellu berkata MIC akan menyediakan satu laporan terperinci yang akan dibentangkan dalam mesyuarat kabinet oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam yang juga Setiausaha Agung MIC.
MIC juga akan membincangkan isu tersebut dalam mesyuarat jawatankuasa kabinet mengenai pembangunan masyarakat India yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya MIC juga menyokong cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) supaya satu badan bertindak ditubuhkan oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah itu.
Samy Vellu berkata MIC telah menyelesaikan 200 kes membabitkan kewarganegaraan sejak tahun 1999 hingga Ogos 2008 dan pada masa ini 1,000 kes lagi sedang menunggu untuk mendapatkan sijil kelahiran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan