Khamis, 30 Oktober 2008

Pengurus Besar PKNS tak semestinya orang Melayu

SINAR HARIAN


SHAH ALAM - Tiada peruntukan undang-undang yang menetapkan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mesti seorang Bumiputera, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali (gambar).

Bagaimanapun katanya, adalah sesuatu yang memecah tradisi apabila PKNS yang sejak 44 tahun diterajui Bumiputera cuba digantikan dengan pengurus besar yang bukan Bumiputera.

“Di dalam negara ini kita boleh lihat syarikat yang memegang amanah orang Melayu adalah diterajui Bumiputera dan tindakan menggantikannya dengan orang lain akan menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat terutama pegawai dan kakitangan PKNS itu sendiri.

“Kita juga amat mengambil berat sekiranya sebelum ini PKNS kerugian berbilion ringgit akibat salah urus tadbir peneraju sebelum ini. Bagaimanapun ia bukan kesalahan pengurusan tertinggi PKNS, ia adalah salah kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Dr Hassan berkata demikian mengulas perlantikan Low memangku jawatan Pengurus Besar PKNS selama setahun berkuatkuasa 21 Oktober lalu sementara kerajaan negeri mencari Pengurus Besar PKNS baru di kalangan Bumiputera yang berpengalaman dalam pembangunan hartanah, pembangunan semula dan disegani.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan desakan lima pertubuhan di dalam PKNS yang mahukan Khalid menjelaskan perlantikan Madam Low yang disifatkan memecah tradisi peneraju PKNS.

Kata Dr Hassan, pengurus besar yang bakal dilantik menerajui PKNS selepas ini mestilah terdiri daripada seorang profesional yang bukan sahaja mahir dalam urusan hartanah, tetapi merupakan individu yang kuat pegangan agama Islam agar tidak berlaku penyelewengan.

Ketika ditanya mengenai perbezaan pendapat apabila DAP menyokong perlantikan tersebut, Dr Hassan berkata ia adalah satu perkembangan yang positif dalam menunjukkan keseimbangan pentadbiran Pakatan Rakyat (PR).

“Ketika ini ia terletak sepenuhnya kepada kebijaksanaan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menyelesaikan perkara ini dengan sebaiknya demi kebaikan semua pihak,” katanya.

Tiada ulasan: