Ahmad Tajdid
KOTA KINABALU - Keputusan Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac lalu telah merobah senario politik tanah air apabila kuasa rakyat diiktiraf sebagai kuasa penentu dalam pembentukan kerajaan.
Keadaan ini didorong oleh perubahan sikap dan tuntutan rakyat masa kini yang tidak sama dengan sikap dan tuntutan rakyat era lalu, kata Ketua Menteri Sabah, Dato' Seri Panglima Musa Aman dalam perutusannya pada majlis perasmian Seminar Politik Malaysia anjuran UiTM Sabah dan Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (inQKA), UiTM Shah Alam.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Masidi Manjun.
Negeri Sabah, ujarnya turut merasa bahang tsunami politik yang melanda negara khususnya di Semenanjung.
Bagaimanapun beliau melahirkan perasaan bangga kerana BN Sabah masih mengekalkan 'kemenangan besar' dan terus memerintah negeri itu.
Sambil menyifatkan Seminar Politik Malaysia itu diadakan tepat pada masanya ekoran perkembangan semasa yang berlaku pasca pilihan raya umum Mac lalu, beliau berharap resolusi seminar itu kelak dapat dimanfaatkan oleh kerajaan BN Sabah bagi merangka strategi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Musa turut menyeru kepimpinan politik negara agar bersikap lebih matang dalam menangani isu-isu perkauman dan agama kerana rakyat sudah semakin matang dalam berpolitik dan menilai keupayaan kerajaan setiap masa.
Menurutnya, politik negara perlu dilihat dalam perspektif yang lebih luas bagi memenuhi keperluan dan tuntutan semasa.
Sehubungan itu, kerajaan katanya perlu bertindak pantas memenuhi kehendak rakyat jika mahu terus kekal berkuasa.
"Pandangan yang dibangkitkan beberapa dekad lalu mungkin tidak sesuai digunakan sekarang, dan saya percaya melalui seminar ini banyak idea akan dihasilkan kerana ia disertai oleh ramai ahli akademik," ujarnya.
Seminar tiga hari bertemakan "Landskap Politik Malaysia Pasca Pilihan Raya Ke-12" itu berlangsung di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, dekat sini.
Seramai lebih 200 peserta seluruh negara dan 89 kertas kerja dibentangkan dalam seminar itu.
Majlis perasmian turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UiTM, Prof Dr Mustafa Mohd Zain, Setiausaha Persekutuan Sabah, Dato' Ismail Wadin dan Penolong Naib Canselor InQKA, Prof Madya Dr Shireen Haron. - mks. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan