Isnin, 27 Oktober 2008

Kerajaan digesa berunding dengan Hindraf

Nyza Ayob


KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub mendesak kerajaan agar mengadakan pertemuan secara terbuka serta membuka meja perundingan dengan tahanan Hindraf supaya dapat melihat secara objektif tuntutan kumpulan ini.

Salahuddin melahirkan kebimbangan sekiranya kumpulan ini terus dilayan sedemikian, mereka akan mengambil keputusan yang lebih mengancam keselamatan negara.

"Menutup pintu rundingan serta mengharamkan kumpulan ini bukanlah cara yang terbaik. Kami tidak boleh menerima kenyataan bahawa Hindraf adalah sebuah pertubuhan anti Islam dan anti Melayu kerana ini hanya merupakan propaganda yang dikeluarkan ke atas mereka," katanya sewaktu dihubungi Harakahdaily.

Sementara itu, Salahuddin bersama Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa mengunjungi 10 ahli Hindraf yang ditahan reman sejak 23 Oktober lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya semalam.

Jelas Salahuddin, kunjungan tersebut sebagai tanda simpati terhadap tahanan tersebut serta ahli keluarga mereka.

Tambah Salahuddin, keluarga tahanan juga merakamkan ucapan terima kasih di atas tanda simpati yang ditunjukkan PAS itu.

Salahuddin juga menyatakan, beliau akan membangkitkan mengenai perkara tersebut dalam perbahasan di Dewan Rakyat nanti.

Pada 23 Oktober lalu 11 orang individu termasuk seorang kanak-kanak berusia 6 tahun yang menggelarkan diri mereka sebagai "Kumpulan Prihatin Kaum India" ditahan di hadapan pintu masuk bangunan pejabat Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

Kehadiran mereka ke situ bagi menghantar sepucuk surat rayuan bagi pembebasan lima orang tahanan ISA Hindraf bersempena ketibaan Deepavali pada 27 Oktober nanti. - mns_

Tiada ulasan: