Safar Jumaat
BUAT pertama kali dalam sejarah Umno, selepas 27 tahun, jawatan Timbalan Presiden dipertandingkan. Pertandingan kali ini, mungkin lebih hebat dari pertandingan tahun 1981, antara Tengku Razaleigh Hamzah dengan Musa Hitam, atau kurang menarik ekoran lebih dari dua calon menawarkan diri, hasilnya akan dapat dilihat kemudian nanti.
Seperti seorang pakar rujuk, Ketua Umno Bahagian Jelebu yang baru menang dengan kelebihan hanya 11 undi, (nombor 11) sama nombor kereta rasmi Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak, Dato' Seri Dr Rais Yatim berkata, jangan sesiapa meminta calon-calon lain menarik diri, ekoran sokongan tinggi yang diterima Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
Tentunya, Rais yang rajin bercakap soal pertandingan dalam Umno ini ada terdengar usaha sedang dibuat untuk memujuk tiga lagi calon kerusi Timbalan Presiden, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Dato' Seri Mohd Ali Rustam dan Dato' Nur Jazlan Mohamaed supaya menarik diri.
Menurut Rais, tidak usahlah meminta mereka (kecuali Muhyiddin) menarik diri.
Siapakah yang dimaksudkan Rais, memintanya meminta calon-calon ini menarik diri
Apakah Muhyiddin sedang berusaha untuk mencari jalan menang tanpa bertanding? Atau, Najib yang berhasrat memilih seorang dari empat calon itu, menjadi regunya dalam persaingan kali ini?
Jika ditoleh ke belakang, membuat lebaran 1981, apabila berlaku pertandingan antara Ku Li-Musa, Presiden Umno yang juga Perdana Menteri ketika itu, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad mengekalkan Ku Li dalam kabinet, yang cukup meresahkan Musa.
Akhirnya, kedua-duanya, Musa dan Ku Li sempat menjadi 'musuh' Dr Mahathir - sekaligus 'menenggelamkan' kedua-duanya.
Ada juga yang berprasangka, kenyataan Rais itu bertujuan 'membunuh' karektor-karektor ini, supaya memudahkan Muhyiddin (jika menang), selepas ini menduduki kerusi Timbalan Presiden Umno dan juga Timbalan Perdana Menteri, tanpa saingan dari orang serupa, seperti 'pertembungan kali kedua Musa-Ku Li' tahun 1984.
Ketika Najib mencipta sejarahnya sendiri, tidak pernah tewas dalam semua pertandingan, kerana beliau adalah anak Allahyarham Tun Razak Hussein, Muhyiddin dan Muhammad sudah terkena 'kesan kalah' di kerusi Naib Presiden. Muhyiddin kalah tahun 1990 dan 1996, manakala Muhammad kalah dalam tahun 2004 yang lalu.
Ali Rustam belum pernah kalah, kerana baru sekali bertanding kerusi Naib Presiden tahun 2004 dan terus menang, manakala Nur Jazlan pernah menang kerusi Exco Pergerakan Pemuda Umno.
Jika kedua-dua calon 'heavyweight' (Muhammad dan Ali Rustam) tidak menarik diri dari perebutan jawatan Timbalan Presiden, lebih cerahlah peluang calon-calon lain untuk menang kerusi Naib Presiden, termasuk Rais (jika cukup pencalonan).
Jika tidak, bertambahlah lagi calon Naib Presiden, yang kini sudah disertai 10 calon.
Ada yang yang melihat, mengapa seorang lagi calon Timbalan Presiden, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi 'boleh diminta menarik diri' sebaik sahaja mengadakan pertemuan dengan Najib, tetapi calon-calon lain, yang dilihat tidak 'direstu', masih terus di situ, meminta dicalonkan!
Apakah Najib hanya mampu bercakap dengan Zahid, tetapi tidak mampu bercakap perkara yang sama (menarik diri) kepada Muhammad dan Ali Rustam?
Atau, Najib 'ada bermain mata' dengan salah seorang dari mereka (Muhammad atau Ali Rustam), supaya cuba mendapatkan pencalonan bagi 'menyekat sedikit' pengaruh dan sokongan yang bakal diterima Muhyiddin?
Dalam pertandingan kali ini, sesiapa sahaja yang 'menerima isyarat' sebagai orang Najib, akan menerima pencalonan yang tinggi, khususnya bagi kerusi Naib Presiden.
Jangan hairan jika Dato' Seri Hishammuddin Hussein dan Dato' Seri Mohd Shafie Afdal mendahului calon-calon lain kerana 'sejak awal-awal lagi' cerita yang dibawa, Najib memang hendakkan kedua-dua nama ini.
Zahid Hamidi yang mengekori dekat kedua-dua calon ini, mungkin bukan 'orang Najib' selepas dia mengumumkan hendak bertanding kerusi Timbalan Presiden, tetapi disebabkan dia memang selama ini dikenali sebagai 'budak Najib', sikit sebanyak tempias pengaruh Najib terkena batang tubuhnya.
Bagaimanapun, pencalonan bagi kerusi Naib Presiden dan Majlis Tertinggi (MT) tidak memberi apa-apa makna, kerana sejarah pernah membuktikan Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman yang pernah mendapat pencalonan kedua tertinggi selepas Najib bagi merebut kerusi Naib Presiden dalam tahun 2000, tewas.
Begitu juga bagi kerusi MT, Dato' Seri Aziz Shahmsuddin hampir-hampir tewas dalam pemilihan 2004, walaupun mendapat pencalonan yang banyak.
Bagi Dato' Seri Mohamad Khaled Nordin, Dato' Seri Syed Hamid Albar dan Dato' Seri Shahidan Kassim, jika mereka kalah, bukan kerana mereka tidak popular tetapi disebabkan mereka dicop sebagai orang Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Gelombang sekarang, semua orang mahu 'mengenepikan terus' bayang-bayang Abdullah dalam hirerki kepimpinan Umno, yang menyebabkan sokongan terhadap Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga dikesampingkan.
Jika media menyiarkan gambar Najib-Muhyiddin di samping Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu majlis rumah terbuka Aidil Fitri boleh menguntungkan Mukhriz Mahathir, dalam masa yang sama jika sesiapa dilihat berada di sini Abdullah, nescaya 'terpinggirlah' orang itu dari mendapat pencalonan (jika mereka bertanding).
Begitu sekali buruknya tingkah laku orang-orang Umno terhadap 'seseorang yang tidak mereka suka'.
Sebenarnya, 'pembersihan pemimpin berbakat' memang berlaku sejak zaman Dr Mahathir.
Ia tidak berlaku di zaman Abdullah. Jika di zaman Dr Mahathir tiada berlaku pertembungan hebat kecuali antara Musa-Ku Li, bukan kerana mereka akur dengan Dr Mahathir tetapi, mereka akan menerima akibat dicantas jika terlalu menonjol.
Kenapa sekarang semakin banyak saingan, kerana dalam era kepimpinan Abdullah, bakat-bakat baru ini ditonjolkan dan mereka tidak disekat.
Malangnya, semua mereka tidak mahu mengakui hakikat ini, malahan, sama-sama mahu menyentap tangan Abdullah, bagi meruntun beliau turun.
Muhyiddin boleh mengesahkan, dia sendiri pernah dinasihatkan Dr Mahathir jangan bertanding kerusi Naib Presiden dalam tahun 2000.
Apakah dalam zaman Abdullah, Abdullah ada melakukan perkara yang dilakukan Dr Mahathir (dalam menasihatkan calon-calon supaya jangan bertanding)?
Dari segi ini, Abdullah jelas lebih terbuka. Beliau suka melihat anak-anak muda 'naik' dalam politik. Itulah sebabnya, dalam era kepimpinannya timbul nama-nama seperti Shahziman Mansor, Mohamad Zin Mohamad, Noh Omar, Azalina Othman Said, Ahmad Shabery Cheek, Mohamad Khaled, Ahmad Zahid, Ismail Sabri Yaakob, Mohd Shafie Afdal dan lain-lain.
Ketika Abdullah dilihat 'berada di petang hari', bukan sahaja nama Abdullah mahu dijauhi, malahan, Khairy Jamaluddin yang merupakan menantu Abdullah sudah tidak mahu didekati.
Malah, bahagian-bahagian (Pemuda) yang mencalonkan Khairy sudah diintai, untuk dikenakan 'tindakan politik' tetapi jika mencalonkan Mukhriz, dianggap sealiran dengan 'musuh Abdullah'.
Contoh paling ketara, Pemuda Umno Bahagian Pagoh (bahagian yang diketuai Muhyiddin) mencalonkan Mukhriz, bagi membuktikan Muhyiddin memang tidak menerima Abdullah dan sekaligus 'mahu membalas budi Dr Mahathir' yang memberi dia tempat dalam politik sejak 1981.
Masa pencalonan masih jauh, tidak mustahil selepas ini aka nada lagi calon-calon yang tergugur dengan sendirinya dan ada juga yang dinasihatkan supaya menarik diri walaupun pencalonan mencukupi.
Tentunya tugas menjadi 'agen penasihat' ini ialah Rais kerana dia sahajalah yang boleh bercakap menggunakan bahasa yang betul, sama ada dalam Bahasa Malaysia ataupun Bahasa Inggeris.
Yang lain-lain, banyak kelentong dari berkata benar tetapi tidak pula diketahui sama ada Rais akan diberikan tempat selepas dia kalah bertanding nanti, kerana Rais dari segi sejarahnya, sukar menang walau apa pun jawatan yang ditandinginya.
Semakin menarik politik Umno pasca Abdullah. Keikhlasan bukan lagi perkara utama.
Tikam menikam, amalan biasa. Fitnah, dianggap tidak berdosa.
Mampukah Najib mengawal semua ini, hanya masa yang akan menjawab, kecuali selepas ini Umno sudah 'tak bernyawa lagi'.
Jika sudah 'tak bernyawa lagi' tidak ada apa yang perlu dikawal lagi, kecuali masing-masing mengemas tikar bantal, berpindah mencari tempat baru yang lebih sesuai.- mr_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan