UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan tidak bercadang mengkaji semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana keperluannya masih ada dan ia boleh dipakai pada waktu sekarang.
Perdana Menteri berkata, selaras dengan keputusan itu maka tumpuan pembaharuannya hanya untuk mewujudkan tiga suruhanjaya membabitkan pelantikan hakim, pencegahan rasuah dan aduan khas.
''Tumpuan saya ialah untuk membentangkan tiga rang undang-undang ini di Parlimen dan oleh itu tolong jangan soal saya tentang langkah untuk mengkaji ISA kerana akta hampir sama juga masih diguna pakai di Amerika Syarikat (AS) dan Britain.
''Pembaharuan tidak bermakna, kita semua hendak apa yang ada dalam undang-undang atau apa-apa kesalahan mesti dianggap sebagai sudah tidak salah lagi. Tidak boleh begitu," tegasnya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-55 di sini hari ini.
Ditanya adakah kerajaan bercadang membebaskan tahanan ISA berikutan bantahan daripada pelbagai pihak termasuk MCA, Abdullah berkata, beliau tidak akan memberikan komen kerana ia di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.
''Dia (Syed Hamid) lebih tahu lagi situasi yang ada yang mewajarkan dia lepas atau terus dengan tahanan yang telah pun dikenakan ke atas orang yang berkenaan," ujarnya.
Mengenai penahanan seorang aktivis hak asasi manusia, Cheng Lee Whee di bawah ISA semalam kerana didakwa menyebarkan maklumat salah, Abdullah menjelaskan, langkah itu menunjukkan kerajaan masih menggunakan akta itu.
''Ini kerana kita tidak ada apa-apa perbincangan mengenai ISA hendak diketepikan ataupun pindaan yang hendak dibuat pada waktu ini.
''Saya sebagai orang yang biasa menjadi Menteri Dalam Negeri, dalam melaksanakan undang-undang ini kita melakukan secara berhati-hati dan tidak ada langsung unsur salah guna kuasa, ini yang amat penting sekali," katanya.
Ditanya ucapannya semasa perasmian yang menyentuh mengenai Hindraf yang berniat memburukkan imej pemimpin MIC, Perdana Menteri berkata, perkara itu adalah benar tetapi beliau tidak mahu lagi mengulas mengenainya.
''Keputusan mengharamkan Hindraf telah dibuat. Ia tidak wujud sebagai satu entiti dan pada waktu ini kewujudannya sudah pun dianggap sebagai tidak sah daripada segi undang-undang. Tidak ada makna saya bercakap tentang mereka," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan