Jumaat, 24 Oktober 2008

10 penyokong Hindraf direman 3 hari

MSTAR ONLINE
[DIKEMAS KINI]


PETALING JAYA: Sepuluh penyokong kumpulan Hindraf yang ditahan ketika ingin menyerahkan surat jemputan ke jamuan Deepavali di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya petang semalam, dikenakan tahaman reman selama tiga hari.

Bagaimanapun isteri kepada ketua Hindraf, P. Waythamoorthy, yang kini berada dalam buangan di London, K. Shanti dan anaknya berusia enam tahun, Vwaishhnnavi telah dibebaskan atas jaminan polis.

Dua lagi tahanan iaitu S. Jayathas dan Lourdes Mary pula dirawat di Hospital Putrajaya selepas mengadu kurang sihat.

Majistret Nurdiana Mohd Nazari membenarkan perintah reman di bawah Seksyen 48 Akta Pertubuhan bagi menjalankan siasatan aktiviti kumpulan yang tidak berdaftar.

Mereka ditahan kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

Semasa kejadian semalam mereka telah pergi ke Pejabat Perdana Menteri kira-kira pukul 11.30 pagi, sebelum ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kini berada di Beijing, China sempena Persidangan Asia-Eropah Ketujuh.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, semua mereka disiasat di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Seksyen 48) kerana bertindak bagi pihak atau mewakili mana-mana pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Hindraf telah diwartakan sebagai sebuah pertubuhan haram oleh Kementerian Dalam Negeri.

Mereka merupakan kumpulan pertama ditahan selepas Kementerian Dalam Negeri mengharamkan Hindraf minggu lalu.

Terdahulu, salah seorang seorang daripada enam peguam yang mewakili kumpulan berkenaan, M. Manogaran, yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, mengkritik kawalan polis yang ketat di kompleks mahkamah.

Manogaran berkata, beliau akan mengadu kepada Majlis Peguam berhubung perkara itu.

"Mengapa terlalu banyak anggota FRU di mahkamah? Ini bukan mahkamah kerajaan ataupun (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri) Syed Hamid Albar)?"

"Ini kali pertama seorang peguam diminta menyerahkan MyKad bagi membolehkannya menemui anak guaman.

"Malah mereka enggan menerima kad Ahli Parlimen," katanya sambil menambah, mereka tidak sepatutnya direman ketika sambutan Deepavali semakin dekat.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang termasuk Fong Po Kuan dari Batu Gajah, Lim Lip Eng (Segambut) dan S. Manikavasagam (Kapar) hadir untuk menyatakan sokongan kepada kumpulan tersebut.

Tiada ulasan: