Rabu, 29 Oktober 2008

Pita Lingam: Mahkamah tangguh permohonan ketepi penemuan inkuiri

Harakahdaily


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi semalam menangguhkan keputusannya berhubung permohonan lima individu untuk mendapat kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mengenepikan penemuan-penemuan yang terkandung dalam laporan siasatan Inkuiri Suruhanjaya Diraja berhubung satu klip video yang kontroversi.

Bernama melaporkan, Hakim Dato' Abdul Kadir Musa berkata, beliau akan memberikan penghakiman pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Suruhanjaya itu ditubuhkan selepas penyiaran klip video selama 22 minit itu yang memaparkan peguam Datuk V.K. Lingam berbual di telefon, kononnya dengan bekas ketua hakim negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, didakwa mengaturkan urusan pelantikan hakim.

Klip video itu dirakam pada 2002 ketika Ahmad Fairuz menjadi hakim besar Malaya.

Permohonan mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman itu dibuat oleh Lingam, Fairuz dan tiga lagi bekas ketua hakim negara Tun Mohd Eusoff Chin, ahli perniagaan terkemuka Tan Sri Vincent Tan dan Setiausaha Agung Umno Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang turut dikaitkan dalam siasatan itu.

Peguam Kanan Persekutuan Azizah Nawawi memberitahu mahkamah bahawa permohonan itu perlu ditolak memandangkan penemuan-penemuan dalam Inkuiri tidak boleh dikaji semula.

Sementara itu, Majlis Peguam melalui peguam pemerhati Razlan Hadri yang hadir pada saat akhir, memohon untuk menyerahkan penghujahan bertulis berhubung aspek undang-undang berkaitan Perlembagaan Persekutuan.

Lingam yang mewakili dirinya sendiri membantah permohonan itu, dan menyatakan bahawa adalah tidak adil bagi satu-satu pihak untuk mencampuri perkara itu pada saat akhir. Beliau turut mempersoalkan kenapa Majlis Peguam tidak membuat permohonan ketika perbicaraan bermula pada Julai.

Beliau berkata akan berlaku penangguhan yang lebih lama jika Majlis Peguam dibenar membuat penghujahan memandangkan peguam lain juga perlu menyediakan jawapannya.

Perbicaraan petang ini berlanjutan sehingga 5.45 petang semalam apabila Hakim membenarkan Razlan untuk membuat penghujahan secara lisan bukan di mahkamah terbuka tetapi melalui Azizah. - mks._

Tiada ulasan: