Sabtu, 25 Oktober 2008

5 MP serah PM tandatangan gesa ISA dimansuh

MSATAR ONLINE


PUTRAJAYA: Sekumpulan lima ahli Parlimen hari ini menyerahkan kepada Pejabat Perdana Menteri tandatangan sokongan menggesa agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan.

Ia merupakan sebahagian daripada tandatangan yang dikumpulkan setakat ini.

Lima ahli Parlimen yang hadir untuk menyerahkannya terdiri daripada wakil rakyat Batu Gajah, Fong Po Kuan; Lim Lip Eng (Segambut), kedua-duanya dari DAP.

Turut hadir dua ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu William Leong (Selayang) dan Loh Gwo Burne (Kelana Jaya) serta Ahli Parlimen PAS dari kawasan Kota Raja, Dr. Siti Maria Mahmud.

Mereka tiba kira-kira pukul 11.10 pagi dan tandatangan berkenaan diserahkan kepada Setiausaha Peribadi Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Yaakob.

Terdahulu Fong meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya membayar pampasan dan membebaskan kesemua tahanan ISA semasa.

"Memandangkan beliau akan memegang jawatan Perdana Menteri untuk tempoh yang tidak lama, beliau harus membayar pampasan dan memikirkan untuk membebaskan tahanan-tahanan ISA.

"Bebaskan kesemua lima anggota Hindraf dan biarkan mereka sambut Deepavali bersama keluarga mereka," katanya.

Tambah beliau, adalah salah menahan sekumpulan penyokong Hindraf yang hanya hadir untuk menyerahkan jemputan ke rumah Deepavali kepada Abdullah.

"Mereka hanya menggunakan platform untuk melahirkan rasa tidak puas hati mereka," katanya.

Sehingga kini lebih 80 Ahli Parlimen termasuk tiga anggota Bebas dan seorang wakil Barisan Nasional telah menurunkan tandatangan menyokong usul membincangkan langkah memansuhkan ISA.

Tiada ulasan: