Khamis, 16 Oktober 2008

Hadi mahu krisis keyakinan dipulih, sambut baik inisiatif PM

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pembangkang memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekiranya beliau bersungguh-sungguh mahu melaksanakan perubahan demi menyelamatkan negara.

"Saya berharap Perdana Menteri dapat melaksanakan ikrar sebelum berundur, nak memulih kehakiman, nak memulihkan BPR (Badan Penceah Rasuah), memulihkan banyak perkara lagi.

"Mudah-mudahan beliau meninggalkan peninggalan yang baik sebelum mengundurkan diri," kata wakil rakyat kawasan Marang itu ketika menyertai sesi perbahasan Bajet 2009 di Dewan Rakyat hari ini.

Kenyataan Hadi itu mendapat disambut ahli-ahli Parlimen pembangkang yang lain.

Hadi berkata, sekiranya negara bersedia melakukan perubahan-perubahan ini, negara akan berada dalam keadaan selamat.

"Sekiranya kita masih lagi berkeras, tidak mahu mengakui kesilapan, kesalahan dan tak sanggup nak kembali ke pangkal jalan, maka kita akan menerima akibatnya," katanya.

Beliau berkata, krisis keyakinan yang timbul di kalangan rakyat pada masa ini patut diselesaikan.

"Maka pendidikan, pelajaran dan penerangan perlu memainkan peranan dalam mengubati krisis keyakinan.

"Antara yang menimbulkan krisis keyakinan adalah tidak percaya kepada pentadbiran kerana banyaknya rasuah, tak percaya kepada badan kehakiman kerana berlakunya keraguan yang tidak senonoh, tak percaya kepada BPR kerana tindakan-tinadakan yang tidak berkesan dalam mengatasi rasuah," katanya.

Katanya, undang-undang yang sudah tidak sesuai digunakan pada masa ini seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu dipinda kepada undang-undang lebih baik.

"Undang-undang zaman penjajah kita masih gunakan lagi. Ini perlu diubah dan dipinda kepada undang-undang yang lebih adil, yang baik.

"Bukan bermakna kita minta hapuskan ISA, tiada undang-undang... ada undang-undang. Buat undang-undang lain yang adil, yang sesuai dengan perkembangan masa yang kita sudah merdeka.

"Undang-undang yang menimbulkan rasa kasih sayang, yang menimbulkan rasa tanggungjawab antara kerajaan dan rakyat dan antara satu sama lain," katanya.

Selain Hadi, antara yang menyertai perbahasan hari ini adalah Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), Nur Jazlan Mohamed (BN-Pulai), Razali Ibrahim (BN-Muar) dan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas).

Tiada ulasan: