Selasa, 28 Oktober 2008

Kementerian diminta campur tangan kenaikan benih padi

BERNAMA


PASIR PUTEH – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diminta campur tangan berhubung kenaikan harga padi benih jenis 232 daripada RM25 kepada RM40 sekampit di Kelantan yang dianggap membebankan petani.

Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Cherang Rotan, Tengku Hussin Tengku Abdul Rahman berkata kenaikan mendadak itu menyebabkan petani terpaksa membelanjakan sebanyak RM160 (tahun ini) berbanding RM100 (tahun lepas) untuk membeli benih bagi keperluan setiap 0.3 hektar.

“Harga yang tinggi itu boleh melemahkan semangat petani untuk mengerjakan sawah pada musim kedua bermula sekarang kerana bebanan yang mereka tanggung selama ini seperti kos kenaikan upah membajak sahaja pun sudah memeritkan mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata kenaikan harga benih itu menjadi bebanan terhadap petani terutama yang mengerjakan penanaman di kawasan jelapang Cherang Rotan yang seringkali mengalami kerugian setiap musim akibat tanaman dimusnahkan oleh tikus.

“Jika kementerian boleh menurunkan pada harga yang menasabah sekurang-kurangnya antara RM30-RM35 sekampit ia boleh mengurangkan bebanan mereka menampung kos sara hidup berkeluarga terutama menanggung anak-anak sekolah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komoditi Padi, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Mat Najib Abdullah berkata kenaikan harga benih tidak dapat dielakkan disebabkan harga yang ditetapkan di kilang RM34 sekampit, tidak termasuk kos buruh dan pengangkutan.

Selain itu, katanya KADA terpaksa mengimport benih dari negeri lain terutama Kedah, Perak dan Selangor bagi mencukupkan keperluan 4,500 metrik tan setahun.

Tiada ulasan: