Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB dan ARIFFUDDIN ISHAK
PETALING JAYA: Majlis Tertinggi (MT) Umno akan mengadakan mesyuarat khas pada jam 8 malam ini bagi membincangkan kandungan retreat Umno yang diadakan pada Jun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengesahkan mesyuarat tersebut petang tadi namun enggan mengulas lanjut tentang agenda mesyuarat.
"Tunggu lepas nilah. Kita jumpa media malam ini," katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Aeroangkasa Negara di bangunan Parlimen.
Mesyuarat khas tersebut akan berlangsung di ibu pejabat Umno, Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, mesyuarat khas itu akan membincangkan tentang hal ehwal parti.
"Ini bukan mesyuarat biasa. Ini adalah mesyuarat khas untuk MT berbincang mengenai parti...retreat.
"Tapi tak bolehlah saya nak beritahu apa agendanya," katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.
Ketika ditanya sama ada mesyuarat malam ini akan memutuskan perkara-perkara penting tentang Umno, Muhammad berkata, semua hasil retreat sebelum ini adalah penting dan MT ingin membincangkan hal itu dengan lebih lanjut lagi.
Sementara itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut enggan mendedahkan agenda mesyuarat pada malam ini.
"Ada retreat malam ni...beberapa perkara nak dibincangkan," katanya.
MT Umno telah mengadakan retreat di Shah Alam pada 5 dan 6 Jun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan