Selasa, 21 Oktober 2008

Kahwin: Mawi umum tarikh 'istimewa' petang ini

Oleh WAHIDA ASRANI


PETALING JAYA: Penyanyi popular Mawi akan menamatkan segala teka-teki tentang majlis perkahwinannya bersama kekasih hati, Nora'Ashikin Rahmat atau lebih dikenali dengan panggilan Ekin, pada sidang media khas di Palace of Golden Horses, Seri Kembangan, sekitar pukul 2 petang ini.

Sejak pasangan tersebut mendedahkan hubungan cinta mereka pada Mac lalu, pelbagai pihak mula membuat andaian sendiri tentang tarikh perkahwinan mereka yang dikatakan bakal menjadi 'Wedding of the Year' seperti mana perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza dan suami, Datuk SeriKhalid Muhamad Jiwa dua tahun yang lalu.

Di kalangan pihak media juga, soalan tentang tarikh perkahwinan tidak lekang diajukan kepada pasangan ini tatkala berpeluang bertemu mereka di mana-mana majlis meskipun Mawi dan Ekin lebih senang mengunci mulut tentang perkara tersebut.

Pelbagai tarikh telah menjadi tekaan banyak pihak dan salah satu daripadanya, pasangan ini difahamkan akan dinikahkan pada 20 Disember di Johor dan akan melangsungkan majlis persandingan pada sebelah malamnya di Stadium Bandaraya Johor Bahru manakala di sebelah pihak Mawi pula, sebuah resepsi akan diadakan pada 27 Disember.

Sebuah majlis di Kuala Lumpur juga akan diadakan pada 11 Januari depan yang dikhabarkan mungkin akan berlangsung di Palace of Golden Horses dengan konsep 'glam wedding'.

Seperti mana perkahwinan gilang-gemilang Siti Nurhaliza yang turut disiarkan secara langsung di TV3, kali ini majlis hebat Mawi dan Ekin juga akan turut disaksikan oleh jutaan penonton menerusi saluran Astroyang khabarnya sudah sah mendapat hak eksklusif untuk menyiarkan majlis perkahwinan pasangan selebriti ini.

Apapun, semuanya bakal terjawab petang ini apabila Mawi nampaknya mengotakan janji untuk mengumpul semua media bagi mengumumkan tentang hari bersejarahnya itu.

Sidang media itu juga bakal disiarkan secara langsung di Astro Awani.

Tiada ulasan: