Salmiyah Harun
KUALA LUMPUR - Pelbagai pihak mendesak Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berlaku adil terhadap mereka yang dihumban ke dalam Akta ISA sebelum beliau berundur pada Mac 2009 nanti.
Abdullah Badawi juga pernah berjanji untuk melakukan banyak perubahan dan membina negara yang adil dan demokrasi semenjak menjadi Perdana Menteri.
Justeru, badan bukan kerajaan melihat ruang demokrasi yang dijanjikan itu termasuklah memansuhkan ISA yang digunakan untuk menafikan hak seseorang.
Menurut Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) Dato' Bong Hon Liong, sehingga kini rakyat tidak nampak sebarang kejayaan yang dilakukan oleh Abdullah kecuali janji-janji kosong.
"Beliau akan menyerahkan kuasa tidak lama lagi saya menyeru supaya beliau dapat membuktikan semangatnya yang ingin menuntut perubahan dengan memansuhkan ISA dan bebaskan semua tahanan dan membawa mereka ke muka pengadilan,"katanya.
Dalam program Kempen Mansuhkan ISA yang berlangsung di KLSCAH, beliau turut mengecam tindakan kerajaan yang menggunakan ISA bagi menakutkan rakyat Malaysia sekaligus mengganggu demokrasi dalam negara.
Pengerusi Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) Ong Chiow Chuen mengecam kerajaan menggunakan akta zalim itu untuk menindas mereka yang membidas kelemahan kerajaan dengan tuduhan mengancam keselamatan negara.
Katanya, apa yang penting bagi kerajaan menahan mereka tanpa memerlukan bukti dan mereka yang ditahan tidak berpeluang membela diri.
"Cuba kita fikirkan apakah perbuatan zalim sebegini boleh diterima? Jawapannya jelas dan tegas kita mahu ISA dimansuhkan," katanya di hadapan kira-kira 500 hadirin yang menyertai kempen itu.
Pengerusi Gabungan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (UCSCAM) Dr Yap Sin Tian pula menyeru seluruh rakyat negara ini menyatupadukan tenaga suara hati supaya menggesa kerajaan memansuhkan ISA.
Katanya, jika akta itu tidak dimansuhkan akan ramai lagi rakyat negara ini menjadi mangsa kezaliman ISA.
"Ahli-ahli parlimen yang ada di Dewan Rakyat yang berfikiran terbuka berusahalah supaya ISA dimansuhkan,"katanya.
Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh yang turut berpeluang berucap di hadapan hadirin yang terdiri dari kaum Cina berterima kasih kapada mereka yang tidak jemu berjuang untuk mansuhkan ISA.
"Hari ini kita bekerjasama untuk tunjuk rasa kecewa dan benci dengan undang-undang ISA yang zalim dan wajar dimansuhkan,"katanya.
Beliau turut bangga hampir 300 organisasi NGO yang menyokong memansuhkan Akta ISA yang zalim dan mendesak membebaskan semua tahanan.
Turut berucap dalam majlis itu, Pegerusi Dewan Perhimpunan Cina Malaysia Tan Sri Lim Gait Tong dan Setiausaha Majlis Peguam Malaysia Lim Chee Wee.
Keluarga mangsa ISA Norlaila Othman (isteri Mat Sah Satray) dan Marina Lee Abdullah (isteri Raja Petra Kamaruddin) turut diberi kesempatan untuk berucap.
Sehingga kini, Kempen Mansuhkan ISA berjaya mengumpul sokongan memansuhkan ISA iaitu, 74 Persatuan Cina di Kuala Lumpur dan Selangor, 68 persatuan bidang pendidikan, 36 persatuan pekerja dan Ngo, dan 34 persatuan pemuda dan belia.
Persatuan di kalangan kaum Cina tidak terlepas menyatakan bantahan mereka terhadap penggunaan Akta ISA yang zalim.
Kempen yang dianjurkan oleh KLSCAH bersama persatuan sekolah Cina dan Guru-guru Cina, Majlis Peguam dan GMI turut mempersembahkan pentomen yang memaparkan perjalan hidup tahanan ISA ketika ditahan di kem. - mks._
Tiada ulasan:
Catat Ulasan