Rabu, 22 Oktober 2008

84,581 peneroka Felda nikmati bonus RM144.44 juta Disember ini

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


KUALA LUMPUR: Seramai 84,581 peneroka Felda di seluruh negara akan menikmati bonus insentif berjumlah RM144.44 juta pada Disember ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata, kadar bayaran bonus yang dipanggil Bonus Insentif Produktiviti itu adalah sebagai menghargai sumbangan peneroka terhadap kemajuan industri sawit dan getah negara dan insentif menghantar hasil mereka kepada Felda.

"Kadar bonus yang dibayar pada tahun ini adalah minimum RM700 dan maksimum RM2,000 bagi setiap peneroka bergantung kepada jumlah penghantaran hasil," katanya ketika sidang media selepas Majlis Sambutan Majlis Sambutan Hari Raya Felda di Balai Felda, di sini, hari ini.

Najib berkata, walaupun jumlah yang menerima bonus pada tahun ini lebih rendah jika dibandingkan dengan tahun lalu iaitu 90,322 peneroka yang melibatkan pembayaran RM146.39 juta, namun jumlah bayaran insentif kepada peneroka yang memperoleh hasil maksimum meningkat dari RM1,800 kepada RM2,000.

Sementara itu katanya, kadar bayaran bonus minimum turut dinaikkan daripada RM600 kepada RM700.

"Peneroka yang menerima kadar maksimum adalah seramai 59,924 atau 53.2 peratus dan penerima kadar minimum adalah seramai 7,283 atau 6.47 peratus.

"Peningkatan kadar bayaran bonus pada tahun ini adalah disebabkan oleh harga komoditi sawit dan getah yang baik di samping luas kawasan berhasil di kawasan tanam semula yang semakin meningkat pada enam bulan pertama," katanya.

Najib berkata, seramai 28,055 peneroka atau 24.9 peratus didapati tidak layak menerima bayaran insentif kerana tidak menghantar hasil kepada Felda dan hasil mereka kurang daripada penghasilan minimum yang ditetapkan.

"Peneroka yang menguruskan sendiri kebun mereka tidak dibayar bonus insentif ini," katanya. Beliau berkata, bonus insentif tersebut akan dibayar kepada peneroka dalam bentuk wang tunai dan tiada bayaran akan dibuat dalam bentuk sijil saham Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF).

Katanya, kerajaan berharap pemberian bonus itu akan dapat merangsang peneroka di seluruh negara untuk berusaha dengan lebih gigih bagi meningkatkan produktiviti masing-masing.

Najib berkata, secara purata harga sawit bagi tahun ini bagi minyak sawit mentah (MSM) adalah RM3,237.72 setan, tandan buah segar (FFB) RM691.36 setan manakala harga getah standard Malaysian rubber (SMR) 20 adalahialah RM9.15 sekilogram.

"Purata ini lebih tinggi berbanding tahun lalu iaitu MSM RM2,516.50, FFB RM558 setan dan SMR 20 RM7.20 sekilogram," katanya.

Beliau berkata, harga MSM kini di paras RM1,700 setan dan getah di paras RM5.60 sekilogram berbanding harga tertinggi tahun ini pada bulan Mac iaitu RM4,486 setan dan getah RM10.22 sekilogram pada Julai.

Katanya kerajaan memandang berat kesannya kerana jika keadaan ini berterusan, ia akan memberi impak kepada pendapatan peneroka.

"Kerajaan memberi jaminan akan terus memastikan peneroka Felda menerima pendapatan minimum di paras RM1,000 walaupun komoditi getah dan sawit jatuh," katanya.

Tiada ulasan: