Rabu, 22 Oktober 2008

Shah Rukh Khan terima Datuk bulan depan

MSTAR ONLINE


MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengesahkan aktor Bollywood Shah Rukh Khan akan menerima anugerah Datuk bulan depan.

Namun begitu, tarikh masih belum ditetapkan.

"Shah Rukh Khan telah bersetuju untuk menerima dan persetujuan telah disampaikan kepada Pejabat Yang Dipertua (negeri).

"Beliau akan cuba untuk datang, untuk menerima November ini tetapi tarikh majlis pengurniaan belum ditetapkan," kata beliau selepas melancarkan Menara TM bernilai RM63 juta di Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Sebelum ini, Mohd Ali berkata Penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk kepada Shah Rukh Khan adalah berdasarkan sumbangannya mempromosi negeri ini melalui filem lakonannya yang ditonton jutaan peminat seluruh dunia.

Beliau berkata, Shah Rukh Khan pernah datang ke Melaka membuat penggambaran filemnya bertajuk "One Two Ka Four" di A Famosa Resort, Alor Gajah beberapa tahun lepas.

Shah Rukh Khan yang dilahirkan di New Delhi pada November 1965, adalah antara 758 penerima anugerah darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka tahun ini.

Mohd Ali berkata, penganugerahan DMSM kepada Shah Rukh Khan adalah pelaburan yang mendatangkan banyak keuntungan balik kepada Melaka dari segi promosi secara percuma tanpa melibatkan wang.

Langkah Melaka mengurniakan Datuk kepada Shah Rukh Khan telah menimbulkan polemik dengan beberapa pihak mempersoalkannya.

Tiada ulasan: