Mat Zahari Ali
AMPANG, 16 Oktober (SK) - Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin membantah sekeras-kerasnya tindakan pihak polis memanggil empat orang aktivis Hindraf untuk disoal siasat hanya kerana kehadiran mereka di Rumah Terbuka yang dianjurkan oleh Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Pusat Dagangan Dunia Putra(PWTC).
Zuraida yang juga Ketua Wanita KeADILan berkata kehadiran merekadi PWTC pada Hari Raya Pertama lalu sama seperti rakyat Malaysia yang lain kerana Abdullah Badawi adalah Perdana Menteri bagi seluruh rakyat Malaysia.
“Kita perlu ingat walaupun berbeza dari segi agama, bangsa dan latar belakang politik seharusnya Abdullah bersikap lebih profesional dan tidak melihat isu ini seperti isu tergempar,” ujarnya dalam kenyataan media pada 15 Oktober lalu.
Menurut Zuraida kehadiran mereka pada majlis rumah terbuka berkenaan tidak menghina Islam atau orang Melayu pada hari tersebut.
“Mereka hadir hanya ingin menyampaikan mesej supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) dimansuhkan dan membebaskan semua tahanan tersebut,” katanya.
Bagi Zuraida mereka berpendapat bahawa hari tersebut merupakan peluang bertemu dengan Perdana Menteri yang sebelum ini tiada kelapangan masa.
Zuraida menambah beliau kesal apabila nama Majlis Rumah Terbuka sebenarnya retorik hanya pada panggilan nama.
“Di manakah demokrasi sebenar Kenapa isu ini perlu diperbesarkan sehingga dibawa kepada siasatan pihak polis sedangkan niat mereka hanya bertemu Perdana Menteri?,” beliau memberi pertanyaan dengan kesal.
Zuraida turut mempersoalkan keadilan dan Abdullah Badawi yang tidak pasti mampu membezakan antara rakyat dan politik.
Zuraida mengimbas Rumah Terbuka anjuran Ketua Umum KeADILan, Anwar Ibrahim baru-baru ini apabila kumpulan Hindraf berkenaan juga hadir bertemu dengan Ketua Pembangkang itu.
“Mereka menyerahkan anak patung bagi tujuan mendapatkan pembelaan terhadap anak-anak tahanan ISA,” jelasnya.
Zuraida menambah kehadiran mereka tidak memberi masalah kerana kehadiran mereka mahu menunjukkan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan prinsip perpaduan dan perayaan diraikan bersama-sama.
“Ini adalah mesej yang harus ditonjol kepada dunia dan bukannya perbalahan sesama kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan