Ahad, 19 Oktober 2008

Siswa berarak temui Menteri KPT di UKM

Intan Abdullah


KUALA LUMPUR - Setelah perhimpunan di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Putrajaya minggu lepas diadakan, sekali lagi mahasiswa berarak kali ini di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk bertemu sendiri dengan Menteri KPT, Dato' Seri Mohd Khaled Nordin baru-baru ini.

Delegasi ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar Pro Mahasiswa seramai 25 orang yang diketuai oleh Mohd Hilman Nordin dari Universiti Malaya telah berpeluang bertemu dan menyerahkan sendiri memorandum 'Tuntutan Mahasiswa Berhubung Pilihan Raya Kampus' beserta dokumentasi kes-kes salah laku dalam pilihan raya kampus lalu.

Kira-kira 200 mahasiswa daripada pelbagai universiti di Lembah Klang turut serta menyertai perhimpunan yang diadakan di pekarangan Dewan Canselor Tuanku Abdul Razak UKM untuk bertemu dengan Khaled yang turun merasmikan program Pesta Kerjaya peringkat kebangsaan di kampus tersebut.

Namun kehadiran mereka tidak disenangi pengawal keselamatan sehingga membuatkan pihak universiti meminta bantuan pihak polis yang kononnya datang bagi mententeramkan keadaan.

Walau bagaimanapun, hanya sebuah kereta peronda dan trak kecil polis kelihatan tiba di pintu masuk lobi Dectar selain para pegawai khas menteri KPT 'sibuk' menghalau mahasiswa yang terlibat daripada terus berhimpun di lokasi kejadian.

Mahasiswa ternyata terus tetap tidak berganjak dengan kain rentang, poster selain membawa bunga putih sebagai simbolik kepada tuntutan PRK yang diharap berjalan dalam suasana yang bersih dan demokratik.

Hilman pula ketika ditemui Harakahdaily menjelaskan bahawa beliau tidak sempat berbincang dengan Khaled mengenai tuntutan yang diketengahkan oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) melalui memorandum yang diserahkan itu.

"Tetapi pihak menteri KPT telah berjanji akan meneliti tuntutan tersebut dan beliau turut berjanji akan memberikan jawapan secara bertulis kepada kita pada Isnin minggu hadapan iaitu pada 21 Oktober nanti,"katanya.

Ditanya mengenai penjelasan tentang tarikh pilihan raya kampus bagi kampus Lembah Klang yang masih dirahsiakan oleh KPT, beliau berkata ianya tidak sempat dibincangkan dengan lebih lanjut atas kesempitan masa yang diberikan.

Antara isi kandungan memorandum tersebut adalah mendesak agar KPT memansuhkan perlaksanaan sistem pengundian secara online atau e-voting serta meminta agar jawatankuasa pemantau pilihan raya kampus khas dilantik bagi memantau perjalanan pilihan raya kampus.

Mereka turut meminta agar KPT dapat memastikan tiada pihak tertentu yang cuba untuk memanipulasi perjalanan pilihan raya kampus supaya ianya dilaksanakan dengan adil dan telus.

Suasana menjadi agak tegang apabila pegawai-pegawai khas KPT sibuk menengking dan menggesa mahasiswa yang sedang berucap agar segera beredar supaya mereka tidak perlu mengambil tindakan yang lebih keras.

Kira-kira lapan NGO mahasiswa termasuk Gamis, Dema, JKMI dan BBMN menyertai perhimpunan tersebut selain turut dihadiri mahasiswa dari UM, Universiti Islam Antarabangsa, UKM, Universiti Tekonologi Mara dan Universiti Putra Malaysia.

perhimpunan yang bermula jam 4 petang itu berakhir dengan aman dengan bacaan doa dan nyanyian lagu negaraku. - mks. _

Tiada ulasan: