Jumaat, 31 Oktober 2008

'Time Based': Guru 'senior' tidak puashati terhadap 'junior'

Anis Nazri


Parlimen KUALA LUMPUR - Prinsip 'Time Based' yang digunapakai Kementerian Pelajaran dalam proses kenaikan pangkat guru siswazah dan guru bukan siswazah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan guru yang lama berkhidmat.

Perkara itu didedahkan Roslan Shaharum (PAS-Bukit Gantang) dalam sesi soal jawab, di Dewan Rakyat, semalam.

Menurut beliau, sistem 'Time Based' itu menimbulkan rasa tidak puashati di kalangan guru-guru yang telah lama berkhidmat berbanding guru-guru yang 'junior'.

"Mereka mendapati gaji di antara mereka sama, walaupun berbeza dari sudut pengalaman dan juga senioriti mereka. Sebagai contoh, kenaikan Time Based DG 32, gaji yang diterima guru yang mengajar 18 tahun, sama dengan guru yang baru mengajar sepuluh tahun," kata beliau ketika mengemukakan soalan tambahan.

Menjawab persoalan tersebut, Timbalan Menteri Pelajaran Dato' Razali Ismail, berkata terdapat beberapa syarat untuk kenaikan iaitu sepuluh tahun, contohnya dari DG 41 kepada DG 44.

Bagaimanapun, beliau mengakui kemungkinan berlakunya kelewatan dalam proses kenaikan tersebut memandangkan keluarga kementerian yang besar, selain menghadapi proses birokrasi dari peringkat sekolah, guru besar, PPD dan JPA.

Sebelum itu, Roslan dalam soalan asalnya meminta kementerian menyatakan sejauhmana asas keadilan yang dipatuhi pihak kementerian dalam merangka proses kenaikan pangkat melalui Time Based. - mks._

Tiada ulasan: