Sabtu, 25 Oktober 2008

MB akan bincang pembangunan Selangor dengan PM

BERNAMA


SHAH ALAM: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini berkata beliau akan berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membincangkan soal pembangunan negeri Selangor kesan daripada penubuhan pusat pentadbiran Putrajaya dan bandaraya Kuala Lumpur.

Penubuhan Putrajaya dan Kuala Lumpur memberi kesan baik kepada Selangor tetapi pada masa yang sama ia meningkatkan kesesakan jalan raya kerana ramai yang tinggal di Selangor tetapi bekerja di Kuala Lumpur dan Putrajaya, katanya kepada pemberita pada masa rehat persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.

"Kami mahu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi menentukan kecekapan dan keberkesanan sistem pengangkutan agar negeri ini terus membangun," katanya.

Abdul Khalid juga berkata turut akan dibincangkan ialah pengurusan sungai kerana Selangor dan Kuala Lumpur berkongsi sungai-sungai, seperti Sungai Gombak dan Sungai Klang.

Isu pekerja asing dari segi keselamatan akan juga dibincangkan, katanya. Abdul Khalid juga berkata sebagai sebuah kerajaan baru beliau ingin memeriksa penggunaan peruntukan bernilai RM800 juta dari Kerajaan Persekutuan kepada Selangor untuk pembangunan Daerah Sepang apabila kawasan seluas 4,931 ha di daerah itu yang kini dikenali sebagai Putrajaya diserahkan kepada kerajaan Persekutuan.

Kerajaan negeri mahu tahu sama ada peruntukan itu dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8) telah digunakan sepenuhnya atau telah dibawa ke hadapan ke dalam RMK9, katanya.

Sebelum itu pada masa sesi soal jawab Khalid berkata kerajaan negeri akan menghormati perjanjian yang telah dimeterai dengan kerajaan Persekutuan mengenai penyerahan Putrajaya kepada kerajaan pusat.

Dr Shafie Abu Bakar (PAS-Bangi) dalam soalan tambahannya bertanya sama ada kerajaan negeri akan mengkaji semula perjanjian penyerahan Putrajaya kerana beliau berpendapat nilai pemberian RM7.5 juta setahun oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri bagi penyerahan itu buat selama-lamanya adalah kecil.

Oleh itu Dr Shafie mencadangkan Putrajaya hanya dipajakkan kepada kerajaan Pusat supaya pembayaran boleh dibuat mengikut kesesuaian harga semasa.

Tiada ulasan: