Khamis, 23 Oktober 2008

Tahniah Datuk Shah Rukh Khan

Oleh Faizal Riduan


TAHNIAH Datuk Shah Rukh Khan, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka dan Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob, Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka di atas penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) kepada 'Raja Bollywood' itu bersempena dengan ulang tahun kelahiran Tun yang ke 70.

Sememangnya kemasyhuran Melaka kini hanya tinggal kenangan sejak negeri bersejarah itu kehilangan sultan berdaulat bermula tahun 1511! Jika dahulu kesultanan Melaka adalah pengasas kesultanan Pahang di mana Sultan Melaka, Sultan Mansor Shah mengutuskan wazir baginda, Seri Bira Diraja sebelum anakanda baginda, Sultan Muhammad Shah ditabal sebagai Sultan Pahang I pada tahun 1470 dan setelah 534 tahun, Melaka kini ber-Yang Di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob iaitu seorang rakyat jelata di negeri Pahang yang pernah menjadi Menteri Besar Pahang dan Setiausaha Agung UMNO.

Jika Datuk Shah Rukh Khan adalah bintang Bollywood pertama yang mendapat anugerah gelaran 'Datuk' maka jangan terperanjat lambakan gelaran ‘Datuk’ akan melanda industri perfileman yang berpusat di Mumbai, India itu dengan gelaran Datuk Amitabh Bachchan, Datuk Hrithik Roshan, Datuk John Abraham, Datuk Salman Khan, Datuk Saif Ali Khan, Datuk Abishek Bachchan, Datuk Shahid Kapoor, Datuk Aishwarya Rai, Datuk Kajol Mukherjee, Datuk Rani Mukherjee , Datuk Kareena Kapoor, Datuk Katrina Kaif, Datuk Priyanka Chopra, Datuk Preeti Zinta dan banyak lagi penerima.

Nampaknya tidak sia-sia Kuala Lumpur dipilih sebagai tuan rumah kepada majlis Anugerah Filem India Sedunia (GIFA 2006). Selepas ini kita akan melihat pula siapakah artis Cina, Taiwan, Hong Kong, Jepun dan Hollywood yang pertama bakal mendapat gelaran Datuk (kecuali Datuk Michelle Yeoh iaitu seorang warganegara Malaysia). Tetapi mereka perlu terlebih dahulu mengharumkan nama Malaysia dengan menjadikan negara ini tuan rumah bagi sebarang penganjuran majlis anugerah hiburan di atas 'karpet merah' sebelum layak berjalan di atas 'karpet kuning' sebagai penerima anugerah ‘Datuk’!

Malah adalah lebih membanggakan Melaka dengan anugerah ‘lingua franca’-nya jika dapat men-Datuk-kan nama-nama besar dunia hiburan antarabangsa dengan gelaran Datuk Tom Cruise, Datuk Brad Pit, Datuk Michael Jackson, Datuk Nicole Kidman, Datuk Mariah Carey, Datuk Oprah Winfley, Datuk Avril Lavigne, Datuk Justin Timberlake, Datuk Jackie Chan dan Datuk Chow Yun Fat. Saya tidak pasti adakah ini pemberian timbalbalik untuk menjadikan semua penerima anugerah ‘Datuk’ antarabangsa ini sebagai ‘Duta Pelancongan’ Melaka Bandaraya Bersejarah dan Bandaraya Warisan Dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Justifikasi penganugerahan tersebut yang cuba dirasionalkan oleh Ketua Menteri-nya, Mohd Ali Rustam sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Shah Rukh Khan kepada bidang seni perfilemen di peringkat antarabangsa termasuk Malaysia hanya sesuai diucapkan untuk majlis penyampaian anugerah seperti Anugerah Era, Anugerah Cit-Cat, Anugerah Bintang Popular, Anugerah Juara Lagu, Anugerah Seri Angkasa, Anugerah Industri Muzik atau Anugerah Planet Muzik. Barangkali Mohd Ali Rustam menilai melalui bibliografi buku "Still Reading Khan" dan dokumentari "The Inner and Outer World of Shah Rukh Khan" atau paling tidak sebagai seorang ahli 'Shah Rukh Khan Fun's Club' yang berpusat di Kolkata, India.

Anugerah DMSM yang membawa gelaran ‘Datuk’ turut diberikan antaranya kepada Abdul Karim Abdul Jalil, Ketua Pegawai Eksklutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM); Saroni Judi, Naib Presiden Universiti Tun Abdul Razak (Unitar); Prof Madya Dr Azarae Idris, Timbalan Naib Canselor Univeriti Malaya (UM); Datuk Jalilah Baba, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia; Martini Osman, Presiden Agro Bank; Mohamed Azmi Mahmood, Pengarah Urusan Ambank (M) Berhad; Lee Say Thsin, Pengarah Urusan HSBC Bank Malaysia Berhad; Datuk Iskandar Mizal Mahmood, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Biotechnology Corporation; Mohamed Ashaaree Mahmood, Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Iktisad Islam Malaysia; Ir Dr Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran; Othman Samin, Duta Besar Malaysia di Morocco; dan, SAC I Mazlan Mansor, Ketua Polis Melaka.

Tidak kurang hebat penerima sebelumnya antaranya ialah Rohani Jamil, Ketua Pengarah Arkib Negara; Sureth Singh, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR); Prof Dr Ghauth Jasman, Presiden Universiti Multimedia Malaysia (MMU); Kris Azman Abdullah, Pengarah Suruhanjaya Sekuriti; Prof Dr Hassan Mohd Said, Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi; Mohd Salleh Abdullah, Pengarah Urusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB); Syed Hisham Syed Wazir, Pengarah Urusan Edaran Otomobil Nasional (EON); Ahmad Mustafa, Pengurus Besar Sepang International Circuit (SIC); Datuk Hishamuddin Aun, Ketua Pengarang Kumpulan NSTP; Datuk Mohd Khalid Mohd, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan; Zaini Md Nor, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah; SAC I Ayub Yaakob, Ketua Polis Melaka; Abidin Borhan, Setiausaha Gabungan Penulis Nasional (Gapena); Misbun Sidek, Jurulatih Badminton Negara; dan Noraini Ahmad, Ketua Puteri Umno. Dalam senarai panjang yang ‘bukan calang-calang orang’ itu, adakah mereka berbangga segelaran dengan Shah Rukh Khan atau Shah Rukh Khan berbangga segelaran dengan mereka?

Nampaknya Majlis Raya-Raja Melayu perlu membuat ketetapan bersama dan peyelarasan dalam kriteria penganugerahan darjah dan bintang kebesaran supaya kualiti, kredebiliti dan reputasi penerima anugerah dapat dipertahankan wibawanya. Bayangkan satu masa dahulu sebuah Institusi Di-Raja Perak iaitu Muftinya, Datuk Seri Harussani Zakaria telah berfatwa bahawa budaya Bollywood adalah haram kerana budaya hedonisme yang melalaikan kini negeri Melaka pula mengiktiraf sumbangan dari Bollywood itu. Tindakkan kerajaan negeri Melaka itu sebenarnya tidak ubah seperti memberikan gelaran Datuk kepada pengunjung Melayu di bar minuman keras, The Ship atau peserta Melayu dalam pertandingan ratu cantik separuh bogel yang mana keduanya ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) satu masa dahulu.

Empat tahun yang lalu, Melaka membuat kontroversi yang sama dengan lambakkan penganugerahan darjah dan bintang kebesaran terbanyak kepada 84 orang penerima walaupun Melaka adalah negeri terkecil selepas Perlis. Antara penerima kontroversi pula ialah Datuk Khalid Jafri seorang penulis merangkap penfitnah dalam bukunya "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi Perdana Menteri" dan Hasnoor Sidang Husin, Pengurus Besar Melaka International Trade Centre (MITC) yang pernah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Melaka atas jenayah pecah amanah pada tahun 1995.

Pemilihan Datuk Shah Rukh Khan yang turut memenangi anugerah lelaki paling seksi dan dilihat sebagai simbol seks oleh pemujannya mungkin boleh difahami jika keputusan tersebut dibuat oleh Ketua Menteri dan Yang Di-Pertua Negeri dari kalangan kaum wanita. Jika inilah antara kriteria yang diambilkira adalah lebih baik anugerah Datuk diberikan kepada Sufiah Yusuf, seorang pelacur berprofil tinggi yang disensasikan ke seluruh dunia sebagai warganegara Malaysia. Sekurang-kurang beliau pernah membanggakan negara sebagai manusia terpintar dengan memasuki Universiti Oxford pada usia 13 tahun!

Sebenarnya adalah lebih baik mengiktiraf pejuang seni tempatan dan jika kerajaan Melaka tiada calon yang bersesuaian maka saya mencadangkan anugerah Datuk diberikan kepada pelakon bangsawan dan penggiat teater Perlis, Ismail Hashim. Apatahlagi beliau telah berjasa dengan menarik diri dari meneruskan hasrat 'gila bayang' bertanding jawatan tertinggi sebagai Presiden Umno. Ini kerana jika beliau meneruskan percubaan 'untung sabut timbul, untung batu tengelam'-nya, maka tidak mustahil Ketua Menteri dan Yang Di-Pertua Negeri Melaka akan ber-Presiden-kan dan ber-Perdana Menteri-kan Ismail Hashim!

Jika calon Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama memerlukan pengaruh dari Oprah Winfley, hos rancangan bual-bicara The Oprah Winfley Show yang dinobatkan sebagai selebriti paling berpengaruh di dunia oleh majalah Forbes maka adakah usaha kerajaan Melaka ini boleh dilihat sebagai meraih pengaruh dari Datuk Shah Rukh Khan yang juga hos kuiz popular 'Kaun Banega Crorepati' yang dinobatkan sebagai lelaki Asia paling seksi di dunia tahun 2007 oleh akhbar Eastern Eye bagi membolehkan Mohd Ali Rustam mengalahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk jawatan Timbalan Presiden? Pastinya hati ahli Wanita dan Puteri Umno akan tersentuh jika melihat lakonan melankolis Datuk Shah Rukh Khan dalam Baazigar, Darr, Anjaam, Dilwale Dulhania Le Jayenge, Dil To Pagal Hai, Kuch Kuch Hota Hai, Mohabbatein, Kabhi Khushi Kabhie Gham, Kal Ho Naa Ho dan Veer-Zhaara.

Melaka yang diisytiharkan sebagai 'Bandaraya Bersejarah' oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Mahathir Mohamed 12 April 1989 sememang benar-benar bersejarah pada hari ini. Apapun jika satu masa nanti saya menampa sejarah peribadi mendapat anugerah ‘Datuk’, saya berharap ianya bukan dari negeri Melaka. Sekurang-kurangnya apabila ada orang mempersoal, saya masih boleh menjawab, "Datuk saya bukan Datuk Melaka!" .

Sehingga kini saya masih mencuba untuk tidak mempercayai berita ini dengan harapan beberapa hari lagi Bernama dan seluruh media akan mengeluarkan kenyataan “Ralat” kerana berita tersalah lapor atau tersalah tulis "Nasir Bilal Khan" sebagai "Shah Rukh Khan". Jika tidak, gelaran 'Datuk' Melaka itu akan sama nilainya dengan sekeping VCD Bollywood berharga RM9.90 di Pasaraya Besar Mydin!

* Penulis merupakan seorang Perunding Pembangunan Sumber Manusia - Pengarang

Tiada ulasan: