Sabtu, 25 Oktober 2008

Letup mesin deposit tunai

Oleh Nazarali Saeril


SHAH ALAM: Sebelas hari selepas serangan ‘bom mercun’ terhadap mesin ATM sebuah bank di Bandar Kinrara, Puchong, satu lagi serangan hampir sama membabitkan sejenis bahan letupan misteri digunakan terhadap sebuah mesin deposit tunai milik bank beroperasi di Wisma Anggerik di sini, awal pagi semalam.

Kali ini, modus operandi digunakan kumpulan penjenayah ialah meletakkan bahan letupan terbabit di ruang masuk wang tunai sebelum diletupkan menyebabkan ia terkopak manakala bahagian siling tempat mesin deposit serta mesin ATM diletakkan, hampir runtuh.

Bagaimanapun, tidak seperti kejadian 13 Oktober lalu, ‘serangan’ kali ini berhasil mendatangkan pulangan kepada penjenayah selepas mereka melarikan wang tunai kira-kira RM30,000 daripada mesin berkenaan.

Ada kemungkinan kejadian kali ini didalangi kumpulan sama yang menyerang mesin ATM di Bandar Kinrara, 13 Oktober lalu kerana dalam kedua-dua kes terbabit, dua penjenayah dilihat menaiki motosikal ketika melarikan diri dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata kemungkinan itu ada, tetapi ia tidak boleh disahkan sebaliknya akan disiasat.

“Dalam kejadian jam 3.30 pagi tadi (semalam), penjenayah menggunakan bahan letupan yang belum dikenal pasti jenisnya untuk meletupkan mesin deposit tunai berkenaan.

“Ia mungkin bukan mercun, tetapi bahan letupan jenis lain. Bagaimanapun, bahan terbabit hanya boleh dikenal pasti selepas pemeriksaan lanjut dijalankan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Selain itu, Khalid berkata, penjenayah turut menyembur kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian menggunakan cat bagi menutup jejak selain mengelak identiti mereka dikenal pasti.

Polis bagaimanapun sudah mengambil rakaman CCTV bank berkenaan untuk mendapatkan petunjuk berkaitan identiti kumpulan penjenayah terbabit.

“Ketika kejadian, pengawal keselamatan bank itu tiada di lokasi dan polis akan merekodkan keterangannya bagi membantu siasatan.

“Maklumat yang ada setakat ini ialah kejadian dilakukan dua suspek bermotosikal yang dilihat melarikan diri dari sana sejurus kejadian,” katanya.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati jeriji besi keselamatan bank rosak teruk, cat merah menutupi CCTV selain sebahagian siling di kawasan mesin deposit tunai dan ATM diletakkan, hampir runtuh.

Pengurusan bank berkenaan pula enggan mengulas berkaitan kejadian dan rata-rata pelanggan yang berurusan di institusi kewangan itu terkejut dengan kes terbabit.

Tiada ulasan: