Khamis, 23 Oktober 2008

Sistem perparitan akan ditingkatkan

SINAR HARIAN


SIJANGKANG - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meluangkan masa melawat 775 mangsa banjir di Batu 9, Kebun Baru yang ditempatkan di Surau Jaafar dan Sekolah Rendah Agama Kebun Baru di sini.

Menurut Abdul Khalid, beliau dimaklumkan bahawa banjir berlaku di kawasan berkenaan berpunca daripada sistem perparitan yang tidak sistematik dan tersumbat menyebabkan air tidak dapat mengalir keluar.

“Inilah kejadian yang paling teruk pernah berlaku di kawasan ini sejak 30 tahun yang lalu. Kerja–kerja perparitan akan dipantau oleh pihak–pihak yang sepatutnya dalam mengatasi masalah ini manakala kajian akan dibuat untuk mengetahui punca dan masalah sebenar dalam menangani masalah banjir,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, beliau juga mencadangkan agar kolam takungan air diwujudkan bagi mengurangkan masalah pengaliran air di kawasan berkenaan.

Beliau turut beramah mesra dengan mangsa–mangsa banjir dan berharap mereka bersabar dan pelbagai pihak akan ‘stanby’ dalam masa 24 jam untuk memberi bantuan dan pertolongan.

Katanya, pelbagai pihak telah memberi sokongan dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir berkenaan seperti keperluan makanan, pakaian dan sebagainya menunjukkan keprihatinan mereka.

Tiada ulasan: