Rabu, 22 Oktober 2008

Isu 'buntut' cetus kekecohan sidang Parlimen

Oleh ARIFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Perkataan 'buntut' yang diutarakan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin sewaktu sesi soal jawab Parlimen hari ini mencetuskan kekecohan dikalangan ahli Parlimen pembangkang.

Lajim menggunakan perkataan tersebut selepas N. Gobalakrisnan (DAP-Padang Serai) mencelah jawapan yang diberikannya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mat Sirat Abu (BN-Bukit Katil) mengenai permohonan kerajaan negeri Melaka untuk memohon memanjangkan landasan Lapangan Terbang Batu Berendam.

Jelas beliau kerajaan boleh mempertimbangkan permintaan tersebut kerana jumlah peruntukan yang diperlukan tidak begitu banyak sambil mendakwa jika Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan, tidak mungkin pakatan tersebut akan membina lapangan terbang seperti yang dilakukan kerajaan sekarang.

"Kita boleh timbangkan kalau setakat RM40 juta, di Kota Kinabalu kita bina lapangan terbang benlai RM1.5 bilion," katanya.Tidak berpuas hati dengan jawatan itu, Gobalakrisnan bangun dan mendakwa amalan rasuah banyak berlaku dalam projek-projek tersebut.

Celahan itu mengundang kemarahan Lajim dengan berkata: Kalau dulu Ketua Pembangkang jadi Menteri Kewangan, tak ada rasuahkah?

"Siapa yang jadi kaya? Kroni-kroni dulu. Anda baru saja dalam Parlimen, anda ikut belakang sahaja...anda ikut buntut sahaja anda mana tau..anda ikut buntut saja." katanya.

Gobalakrisnan kemudian bangun dan mengemukakan peraturan mesyuarat supaya Lajim menarik balik kata-katanya itu yang dianggap kesat.

Suasana Dewan menjadi kecoh apabila ahli-ahli Parlimen bertikam lidah tanpa menghiraukan arahan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar supaya bertenang.

Namun teguran itu tidak dihiraukan oleh anggota Parlimen sama ada kerajaan ataupun pembangkang.

"Kalau saya belum habis cakap, Yang Berhotmat sudah menjerit-jerit, macam mana saya nak buat keputusan kalau semua bercakap?" katanya.

Sambil Wan Junaidi memberi teguran, masih ada lagi anggota Parlimen yang bertikam lidah.

Keadaan tersebut mengundang marah Wan Junaidi.

"Yang Berhormat jangan ajar saya untuk buat keputusan, jangan bagi arahan kepada Speaker.

"Kalau anda ahli Dewan tak hormat Speaker, tak ada benda lagi yang akan hormat," katanya dengan tegas.

Lajim akhirnya menarik balik kata-kata kesatnya itu setelah diarahkan berbuat demikian oleh Wan Junaidi.

Tiada ulasan: