Jumaat, 24 Oktober 2008

Kompaun ke atas pemilik rumah ibadat haram

BERNAMA


SHAH ALAM: Kerajaan Selangor pada Julai lalu memutuskan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mengenakan kompaun terhadap pemilik rumah ibadat yang dibina secara haram, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar.

"Bayaran kompaun ini perlu dijelaskan secara berterusan sehingga rumah ibadat itu mendapatkan pengiktirafan kerajaan.

"Selain itu, kerajaan negeri juga bersetuju PBT mengambil tindakan tegas ke atas struktur yang dibina tanpa kebenaran selepas 8 Mac termasuk rumah ibadat," katanya semasa menjawab soalan Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) mengenai bentuk tindakan ke atas rumah ibadat yang dibina secara haram di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan bentuk tindakan yang dikenakan.

Katanya, kerajaan negeri juga meluluskan dasar bahawa keluasan bangunan keagamaan selain daripada Islam di tapak baru, sama ada disediakan kerajaan atau pemaju dan bagi tujuan pemindahan ditetapkan tidak melebihi 10,000 kaki persegi.

“Bagaimanapun bagi kes bangunan sedia ada yang melebihi 10,000 kaki persegi dan tanah-tanah yang disediakan oleh pemaju, keluasannya boleh dipertimbangkan mengikut kes tertentu,” katanya

Tiada ulasan: