mymetro
SHAH ALAM: “Saya pesan murtabak sardin, tetapi yang saya dapat ialah murtabak lipas. Saya muntah apabila sedar termakan sebahagian kaki lipas dalam murtabak sardin dibeli di sebuah restoran terkenal.
“Saya ke restoran terbabit untuk mendapatkan penjelasan sebelum meluru ke stor walaupun dihalang. Saya cukup terkejut melihat puluhan lipas kecil di atas bekas tepung serta bawang,” kata Pengarah Jabatan Penerangan Selangor, Saptuyah Senson, 53, di sini, semalam.
Saptuyah ialah pelanggan tetap restoran terbabit dan mengirim makanan kepada pembantu peribadinya supaya membeli sarapan setiap pagi di situ.
Menceritakan kejadian, Saptuyah berkata, beliau menyisihkan bawang yang ada dalam murtabak itu kerana alahan dan terasa pelik apabila terlihat satu ketulan kecil dalam makanan berkenaan.
Saya terkejut mendapati ia adalah lipas sebelum terasa loya dan muntah apabila menyedari sudah termakan sebahagian kakinya.
“Saya bersama Pegawai Media (Jabatan Penerangan), Jagjit Singh terus ke restoran terbabit untuk membuat aduan kepada pengurusannya, tetapi pelayan di sana mempertikaikan kami dengan mengatakan lipas itu datang dari pejabat kami,” katanya.
Saptuyah kemudian terus meluru ke stor restoran terbabit, tetapi dihalang. Beliau bagaimanapun berjaya masuk dan lebih terkejut apabila mendapati puluhan anak lipas kecil di atas bekas tepung serta bawang.
Pengurusan restoran pula menyalahkan syarikat penghapus serangga perosak yang didakwa gagal menjalankan kerja semburan.
“Kami kemudian dihalau serta diperli pengurusan restoran yang mula mengemas stor. Kami terus menghubungi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk membuat aduan berkaitan kejadian.
“Ini kali terakhir saya membeli makanan atau minuman di restoran terbabit serta cawangannya.
“Mereka patut mementingkan kebersihan dan bukannya seolah-olah mengancam kesihatan serta keselamatan pelanggan,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Mat Noor dan beberapa kakitangan MBSA turut diperli pengurusan restoran terbabit kerana sanggup datang melakukan pemeriksaan berikutan aduan hanya kerana seekor lipas.
“MBSA akan mengambil tindakan tegas terhadap permis makanan yang tidak mementingkan soal kebersihan termasuk menyaman dan mengarahkan pengurusan menutup dan apabila masalah itu sudah diselesaikan barulah dibenarkan beroperasi semula.
“Sebelum ini, restoran sama dan sebuah cawangannya pernah dikenakan tindakan kerana gagal menjaga kebersihan,” katanya.
Mazalan turut memaklumkan MBSA akan menjalankan operasi pemantauan di premis menjual makanan di seluruh bandar raya itu selain mengadakan perbincangan dengan Persatuan India Muslim di Shah Alam bagi memastikan soal kebersihan sentiasa diutamakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan