Lanun gertak tembak
BERITA HARIAN ONLINE
RAWANG: "Sepanjang 29 hari dalam tawanan, nyawa kami ibarat telur di hujung tanduk. Lanun sentiasa mengacukan senjata api ke arah kami, malah mahu ke tandas atau bersolat di dalam kapal pun pergerakan kami dikawal," kata juru pandu kapal Bunga Melati 5, Imran Amir, 26.
Ketika menceritakan pengalaman ngerinya ditawan lanun di perairan Somalia sehingga dibebaskan pada 27 September lalu, beliau mengaku masih ketakutan dan akan menggigil setiap kali mengingati pengala- man ngeri yang terus menghantuinya itu.
"Bayangkan, mereka lengkap dengan raifal AK47 dan bom tangan yang boleh meragut nyawa sesiapa saja yang cuba bertindak di luar kawalan ketika itu," katanya.
Imran adalah antara 39 anak kapal Bunga Melati 5 milik MISC yang dirampas pada 29 Ogos dan dibebaskan 27 September. Sebuah lagi kapal milik MISC, Bunga Melati 2 dirampas 10 hari sebelum Melati 5 dan dibebaskan pada 29 September.
Semua anak kapal yang dibebaskan itu tiba di tanah air kira-kira jam 4.15 pagi semalam dengan pesawat sewa khas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Menceritakan semula detik cemas kapal itu di tawan, Imran berkata ketika kejadian Melati 5 sudah mengesan kehadiran dua kapal asing serta kira-kira enam orang lengkap bersenjata api menghampiri kapal berkenaan.
"Lanun itu dipercayai menggunakan tangga yang dibawa mereka untuk memanjat badan kapal kerana ketika itu tangga keselamatan kapal sudah ditarik ke atas.
"Menyedari bahaya, Kapten M Maheswaran mengarahkan semua anak kapal mengambil langkah keselamatan dengan membentuk satu kumpulan berikutan lanun itu mempunyai senjata dan merbahaya.
"Selepas itu, kami diarahkan lanun berkumpul di satu kawasan lapang dalam kapal dan dipindahkan kepada dua kumpulan dan ditempatkan dalam dua bilik," katanya.
Imran berkata, pada hari pertama kapal itu dirampas, barang peribadi milik anak kapal di rampas untuk kegunaan mereka.
"Jam tangan, telefon bimbit, baju, laptop, kasut anak kapal lain turut dirampas dan paling mengejutkan seluar dalam saya juga diambil. Dalam keadaan itu kami tidak diapa-apakan kerana memberi kerjasama," katanya.
Imran berkata, sejak beberapa hari berada dalam tawanan, apa yang diperhatikannya lanun berkenaan dipercayai beragama Islam kerana mereka berpuasa dan berbuka dan bertarawih sekali.
"Kami juga ditanya mengenai kewarganegaraan? Apabila kami menjawab Malaysia dan muslim, mereka meminta kami mengucap dua kalimah syahadah.
"Keadaan ini berterusan sebelum lanun ini mendapat maklumat bahawa pihak media memperbesarkan hal tawanan anak kapal ini. Sejak itu kami dikawal ketat dan diacukan senjata untuk menggertak kami ekoran pendedahan itu," katanya yang sudah berkhidmat kira-kira empat tahun dengan MISC.
Imran berkata, walaupun melalui pengalaman negeri, dia tetap akan meneruskan kerjayanya di atas kapal selepas bercuti kira-kira tiga bulan.
Seorang lagi anak kapal Melati 2, Baharuddin Mohamed, 36, yang sudah berkhidmat selama 13 tahun bersama MISC berkata, kejadian menakutkan yang masih menghantuinya itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus bekerja sebagai kelasi kapal MISC.
"Pembebasan kami ini adalah satu rahmat di bulan mulai ini dan saya akan menghabiskan cuti bersama keluarga," katanya yang mempunyai dua anak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan