SIASAH DAILY
KUALA LUMPUR: Ucapan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membahaskan belanjawan 2008 tanpa gangguan daripada wakil - wakil rakyat kerajaan dilihat sebagai sangat berbeza berbanding suasana kebiasaan ketika tokoh-tokoh utama pembangkang berucap sebelum ini.
Malahan reaksi para wakil rakyat Umno ketika Anwar berucap jauh berbeza dengan pendekatan yang digunakan (membuat gangguan) ketika tokoh-tokoh seperti Lim Kit Siang, (Allahyarham) Datuk Fadzil Nor dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang memegang jawatan Ketua Pembangkang sebelum ini.
Sebaliknya, wakil - wakil rakyat kerajaan bukan sahaja tidak mencelah atau cuba menggangu Anwar yang pertama kali menyampaikan ucapan perbahasan sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat bahkan sebahagian besar daripada mereka meninggalkan dewan.
Manakala hampir tiada menteri dan timbalan menteri ditempat duduk masing-masing untuk menyaksikan bekas Timbalan Perdana Menteri itu berhujah.
"Saya, lapan tahun (menjadi) Menteri Kewangan saya duduk dengar ucapan Ketua Pembangkang. Kalau ada pembangkang bahas timbalan menteri wajib hadir untuk mendengar sepanjang perbahasan. Sekarang ini tidak ada sama sekali , tidak ada yang sanggup mendengar, serahkan kepada pegawai-pegawai. Lebih baik angkat pegawai mengisi kerusi-kerusi depan (tempat duduk menteri)," bidas Anwar dalam ucapanya berhubung situasi tersebut.
Sepanjang lebih lima jam berucap, hanya wakil Batu Pahat, Fuad Zakarsyi sahaja dilihat bangun beberapa kali untuk mencelah ucapan Anwar manakala selainnya hanya wakil pembangkang daripada DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat bangun meminta penjelasan.
Beberapa wakil rakyat kerajaan yang terkenal dengan jolokan 'pengacau' ketika pembangkang berucap seperti wakil Kinabatangan dan Sri Gading lebih banyak menghabiskan masa di luar dewan.
Sikap wakil rakyat kerajaan itu dilihat diluar kebiasaan berikutan Anwar sepanjang ucapannya bukan sahaja membawa hujah-hujah yang mampu menjatuhkan kewibawaan kerajaan dalam penyediaan belanjawan malahan beliau turut mengkritik Barisan Nasional dan mendedahkan skandal-skandal besar.
Berkenaan belanjawan 2008 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri itu sendiri Anwar menyifatkannya "sudah tidak realistik, tidak menepati fakta dan tidak mampu mengangkat ekonomi dan menyelamatkan negara dari kemelut ekonomi yang kian meruncing."
Beliau juga turut menyerang Menteri Kewangan dengan bidasan yang pedih dengan berkata "Menteri Kewangan yang baru yang harus menghormati dan mendengar hujah Ahli-ahli Dewan dan tidak sibuk kempen mempertahankan jawatannya."
Anwar juga menggunakan kesempatan dalam perbahasan tersebut menafikan tuduhan beliau melutut kepada IMF (Bank Dunia) - satu isu yang digunakan oleh Umno untuk menjatuhkan imejnya - turut tidak mendapat respon daripada mana-mana wakli rakyat parti itu.
"Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah mengarahkan Perbendaharaan Malaysia untuk meneruskan pinjaman oleh negara dengan Bank Dunia. Siapa sebenarnya yang melutut dengan IMF / World Bank," kata Anwar.
Selain itu beberapa tindakan yang dilihat sebagai provokasi daripada pembangkang untuk menarik perhatian wakil kerajaan seperti mengemukakan usul supaya perbahasan belanjawan ditangguhkan turut tidak mendapat reaksi daripada wakil kerajaan.
Justeru, pendekatan wakil rakyat kerajaan terhadap Anwar dipercayai pemerhati sebagai strategi yang dirancang untuk menenggelamkan kehebatan Anwar Ibrahim di Parlimen.
Wakil-wakil media yang hadir secara luar biasa pada hari Anwar menyampaikan ucapannya juga turut melihat perkembangan tersebut sebagai usaha mengelapkan berita Anwar daripada mendapat liputan meluas di akhbar cetak atau elektronik yang datang membuat liputan.
"Sebarang kekecohan antara Anwar dengan wakil kerajaan akan menarik perhatian media.Laporan tentang Anwar hanya akan menyerlahkan kehebatannya dalam Parlimen," ulas seorang petugas akhbar yang mengikuti ucapan Anwar pada hari kedua, 14 oktober lalu.
Dipihak Pakatan Rakyat, sikap ditunjukkan oleh wakil rakyat kerajaan itu mengambarkan ketakutan mereka untuk berhadapan dengan Anwar dalam isu menguruskan belanjawan negara.
Anwar selain daripada mempunyai pengalaman luas dalam kerajaan dan juga sebagai Menteri Kewangan bukan sahaja mempunyai fakta-fakta yang kukuh untuk mempertahankan hujahnya bahkan beliau mendapat maklumat yang jelas untuk mempertikaikan angka-angka yang dibentangkan untuk tujuan tersebut.
"Saya melihat perkara ini sebagai ketidak sediaaan kerajaan dalam proses demokrasi, ini dilihat tidak adil kerana ruang kami sangat terhad untuk bersuara, dan ini sepatutnya didengari," komen Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff.
Katanya, pandangan yang diutarakan oleh Anwar amat bagus untuk pihak kerajaan , ia juga dapat membantu pihak kerajaan juga sekiranya mereka mengambil sikap terbuka.
Bagaimanapun Pengerusi kelab Penyokong Kerajan (BBC), Datuk Seri Tiong King Sing ketika ditanya kemungkinan tersebut menafikan ada usaha untuk memboikot Anwar sebaliknya menyifatkan hanya perkara biasa dan hujah yang diberikan oleh Anwar hanya lah sama seperti yang pernah di bahaskan. Beliau juga menafikan pihaknya takut untuk berhadapan dengan Anwar untuk berhujah dalam Dewan Rakyat.
Manakala Wakil Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin pula berkata, tindakan untuk tidak mengganggu Anwar bertujuan memberi ruang yang cukup luas kepada Ketua Pembangkang itu memberilkan pandangan-pandangannya tentang belanjawan 2008.
"Tetapi saya berasa kecewa kerana hujah Anwar tidak memperjuangkan rakyat dan ucapannya hanya retorik seperti yang sentiasa dibahaskan oleh pemimpin lain," katanya ketika diminta mengulas perkembangan tersebut.
Berhubung dakwaan wakil kerajaan takut berhadapan dengan Anwar, Bung Mokhtar berkata, "Anwar adalah orang yang biasa sahaja dan kami tidak gentar dengan hujah beliau."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan